Pages

Thursday 28 March 2013

ATM Lahad Datu : Dari Latihan Ke Pertempuran Sebenar

Kisah pencerobohan Lahad Datu telah bermula awal bulan Februari 2013. Pengganas Sulu ini pada mulanya diberikan ruang diplomasi untuk meninggalkan bumi Sabah secara aman. Namun mereka lebih suka memilih jalan sukar. Bermulalah...


Tanggal 1 Mac 2013, dua komando VAT gugur setelah termakan taktik keji pengganas Sulu ini yang mengumpan menggunakan bendera putih. 2 Mac pula menjadi tragedi ngeri buat 6 anggota PDRM yang terkorban angkara serang hendap mereka di Semporna.

Kerajaan Malaysia yang selama ini cuba memberikan susu pada pengganas Sulu akhirnya terpaksa membuat keputusan untuk melancarkan Ops Sulu yang kini bertukar nama menjadi Ops Daulat. ATM yang selama ini menjadi barisan kedua dalam krisis ini telah turut serta dalam operasi serangan bersama PDRM pada 5 Mac 2013.

F/A-18D Hornet membedil kedudukan pengganas Sulu
F/A-18 Hornet bersama Hawk telah melancarkan serangan udara ke bumi ke atas kedudukan pengganas Sulu. Asakan diperhebat dengan bantuan mortar sebelum proses penggeledahan dari rumah ke rumah dilakukan. Dua anggota tentera turut terkorban.

Selepas daripada itu pelbagai aset ATM mula menjelma di pantai timur Sabah. Tujuh batalion tentera telah dikerah untuk memperkemaskan kawalan keselamatan. Pengganas Sulu harus dibunuh dan ketenteraman awam di Lahad Datu serta Semporna perlu dipulihkan.

Apakah signifikannya krisis Lahad Datu/Ops Daulat pada ATM?

Koordinasi dengan PDRM. Ops Daulat menguji keberkesanan komunikasi, taktikal dan strategi antara dua entiti keselamatan ini. Pembahagian kawasan operasi, operasi bersama, formasi, kekuatan anggota, persenjataan, perisikan, hubungan media adalah elemen - elemen penting dalam koordinasi ini.

Doktrin. Taktikal dan strategi yang diterapkan dalam bentuk gagasan idea dan latihan teruji sedikit sebanyak keberkesanannya. ATM boleh menilai kembali doktrin yang digunapakai. Adakah bersesuaian dengan situasi pantai timur Sabah? Ataupun adakah dokrin baru perlu diaplikasikan? Adakah elemen perisikan perlu diperbaiki?

Anggota. Elemen terpenting untuk melaksanakan doktrin yang diamalkan. Kesiapsiagaan anggota tentera menjadi taruhan terbaik dalam menghadapi kegerilaan pengganas Sulu ini yang mempunyai pengalaman tempur dan berani mati ini. Jatidiri dan semangat juang anggota ATM adalah asas penting. Latihan yang telah dipraktikan sebelum ini bertukar menjadi medan perang.

GGK 
Persenjataan. Tiba masanya menguji sistem persenjataan yang dimiliki dengan aksi hidup mati. Segala peluru dan bom yang sudah terlalu lama dimiliki untuk pertempuran bolehlah dibidik kepada pengganas Sulu. GBU-12 Paveway II yang tersimpan dalam perut F/A - 18 Hornet telah beraksi membadai kedudukan musuh dengan bantuan  PASKAU. Peluru-peluru hidup 5.56mm boleh mencari mangsa sebenar dan tidak hanya berakhir di firing range sahaja.

Adnan beraksi di Lahad Datu
Sokongan rakyat. Semangat patriotisma rakyat makin membara dengan mendokong teguh tindakan ATM terhadap pengganas Sulu ini. Boleh dilihat dalam media sosial seperti Twitter,Facebook dan blog. Lebih mengujakan,majoriti mereka ini adalah golongan belia yang disangkakan hanya peduli tentang dunia hiburan semata-mata. Mungkinkah kesan PLKN?

Inilah masa yang sesuai untuk ATM memiliki persenjataan yang lama diidamkan namun terhalang oleh gangguan politik. Keputusan PRU 13 sepatutnya tidak menggangu-gugat rancangan pemerolehan sedia ada memandangkan sokongan rakyat yang begitu padu pada tindakan ofensif pihak keselamatan. Dijangkakan bajet pertahanan untuk pemerolehan akan mendadak tinggi selepas ini demi memenuhi aspirasi kedaulatan tanpa sebarang kompromi.

Negara-negara jiran yang semakin giat menggergasikan sistem pertahanan mereka tidak wajar dipandang ringan. Ketepikan soal perlumbaan senjata yang kononnya menjadi penghalang dalam pembelian aset-aset terkini. Mana yang wajar diperolehi oleh ATM wajiblah pihak kerajaan memenuhinya.

Sememangnya krisis Lahad Datu menguji kemampuan ATM menangani isu keselamatan yang menggangu- gugat kedaulatan negara. Semua persediaan yang dibuat sama ada latihan yang berterusan, pemerolehan aset -aset baru yang terkini serta moral anggota yang tinggi menjadi bekalan penting menewaskan musuh.


Doakanlah keselamatan barisan pejuang kita yang terdiri daripada ATM dan PDRM. Setitik darah mereka tidak ternilai harganya berbanding selautan darah pihak musuh. INILAH BARISAN KITA!

No comments:

Post a Comment