Pages

Sunday 18 October 2009

Ramly Burger : Permata Bumiputera


Kali ini aku akan mengulas tentang salah satu produk Bumiputera yang paling berjaya, Ramly Burger. Siapa yang tidak kenal burger buatan Ramly ini?
  
Boleh dikatakan hampir 100% gerai-gerai burger yang terdapat Malaysia menggunakan Ramly Burger sebagai daging burger mereka. Kalau tidak menggunakan jenama Ramly, rasanya perlu banyak belajar lagi tentang pemasaran. Jenama lain bukanlah tidak sedap atau bagus, cuma tidak SESEDAP Ramly Burger. Itu sahaja.

Friday 16 October 2009

Perak 2009 : Suatu Perjalanan


Dengan tersingkirnya skuad Perak dalam saingan ke suku akhir Piala Malaysia 2009, maka berakhirlah perjuangan pada musim ini. Namun itu bukan bermakna ia noktah terakhir.


Perlu juga dirungkai segala yang berlaku daripada abjad pertama lagi sebuah kisah suka duka. Juga dinilai kesan yang dibawa atau terbawa-bawa daripada musim-musim sebelumnya.

Sunday 11 October 2009

Gunung Lang : Eksotika Ipoh


Pada hari raya kedua yang lalu, aku bersama - sama keluarga daripada Johor telah pergi ke Gunung Lang. Adalah kira-kira 17 orang.

Kebanyakan mereka memang tidak pernah ke sini. Hanya mendengar cerita tentang Gunung Lang daripada saudara mara yang pernah menjejakkan kaki ke sini.Memang teruja benar mereka.

Daripada jeti, terbentanglah tasik yang menghijau dengan dipagari bukit-bukit batu kapur. Memang menakjubkan keindahannya.

Kemudian menyusurilah kami merentasi tasik dengan bot menuju ke kawasan rekreasi. Tambang untuk orang dewasa RM 3, warga emas RM 2 dan kanak-kanak RM 1.50.


Thursday 8 October 2009

Perak : Piala Malaysia 2009 : Menang Cemerlang

Khabar gembira daripada skuad Perak dalam masa 3 hari memang mengejutkan aku. Dua perlawanan menentang Johor FC dan UPB-My Team berakhir dengan kemenangan luar duga. Meletakkan Perak pada kedudukan teratas kumpulan C.

2-0 membenam Johor FC. Kejayaan yang memperkukuhkan kedudukan memburu tempat ke suku akhir. Lebih signifikan, Johor FC adalah salah satu pasukan paling liat untuk ditumpaskan oleh skuad Seladang selama beberapa musim. Bermain pula di gelanggang lawan.

Tiga hari kemudian, UPB-My Team pula menjadi mangsa amukan berdarah di Stadium Perak. Enam gol menggegar gawang lawan tatkala penjaga golnya hanya mampu meratap hiba.

Aku berharap kemenangan ini mampu mengembalikan penyokong – penyokong ke stadium. Ramai yang kecewa. Namun kecewa dengan pengurusan bukan dengan pemain. Sokong dalam hati sahaja.

Apapun skuad Perak tetap dihati…..

Thursday 1 October 2009

Sniper : Pekerjaan Impian


Sejujurnya dalam perkhidmatan angkatan tentera, menjadi sniper adalah pilihan utama aku. Diikuti dengan juruterbang jet pejuang ( fighter jet) dan komander kereta kebal utama (MBT).

.

Sebabnya mudah. Sembunyi dan bunuh. Jarak jauh. Sangat tepat. Sangat individu. Terasing. Tetapi sangat berguna. 'One shot,one kill' memang menjadi pegangan mana - mana sniper di dunia ini.

Sebenarnya sniper lebih banyak melakukan kerja penyamaran (camouflage), penyusupan (infiltration), pengintipan (reconnaissance) dan pemerhatian iaitu kira - kira 90% daripada tugasan mereka.

Namun tugas utama seorang sniper tetap bergantung kepada keupayaannya membidik peluru ke atas musuh setepat - tepatnya dan serahsia mungkin kedudukannya.

Aku banyak terpengaruh dengan filem Sniper lakonan Tom Berenger ketika pertama kali menontonnya kira - kira 9 tahun lalu. Juga terpengaruh dengan permainan video Conflict : Desert Storm, Conflict : Desert Storm II dan Conflict : Vietnam. Paling mengujakan ketika dapat memegang sendiri Barrett M82A2 kepunyaan sniper Rejimen Renjer DiRaja Malaysia (RRD) ketika Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan hari terbuka di Stadium Indera Mulia, Ipoh sekitar tahun 2005.


Memang mengagumkan tatkala dapat menyarap sambil mata memandang kejauhan dengan skop. Jari jemari pula bermain - main dengan picu yang sepatutnya melepaskan peluru .50 BMG (12.7X99mm NATO) apabila ditarik. Dalam masa kurang 2 saat, sasaran dalam jarak berkesan 1800 meter akan menjadi mangsa yang kebanyakannya bukan hidupan (kenderaan, radar, senjata berat). Terbaca juga aku bahawa jarak maksimumnya ialah 6800 meter.

Sebelum picu ditarik banyak lagi yang harus aku lakukan untuk menjadi sang halimunan maut. Pertama sudah tentulah perlu memasuki perkhidmatan tentera dahulu. Tidak tahulah aku wujud pusat latihan atau sekolah sniper sebaik yang dimiliki angkatan tentera. Mungkin ada sekolah sniper yang dikendalikan oleh bekas sniper yang kini menjadi pejuang, gerila mahupun pengganas.

Kedua keadaan fizikal yang sangat baik. Mata sangat penting. Masalahnya aku rabun jauh yang teruk. Terpaksa bergantung kanta sentuh untuk menikmati keindahan dunia ciptaan Tuhan. Mungkin boleh membuat pembedahan lasik untuk mengembalikan penglihatan semulajadi. Suatu pilihan.

Apapun sniper tetap menjadi pilihan utama pekerjaan impianku. Dengan ghillie suit membaluti tubuh sambil bersedia dengan M82A2 dalam posisi menyarap untuk mencari sasaran, inilah imej yang sentiasa membayangi fikiranku.


Banyak lagi akan kuulaskan tentang dunia sniper yang penuh kemahiran, kerahsiaan dan kepelbagaian dalam post - post yang akan datang. Mungkin dengan terperinci untuk menyelongkar sebenar - benarnya sniper daripada pelbagai sudut. Yang pasti SNIPER tidak bergantung kepada filem, permainan video mahupun blog untuk menjalankan misinya...

Thursday 17 September 2009

Hari Raya Aidilfitri : Rondo Tarian Rimba Bahagian II



sambungan....

Persediaan untuk rumah yang menjadi gelanggang pertemuan juga tidak dilupakan. Langsir yang dirasakan sudah lama bergantung di alang tingkap harus ditukar. Maka bermeter - meter tekstil dibeli dan dijahit. Bermacam - macam corak dan paten dipamerkan. Langsir lama yang masih elok tidak pula diketahui nasibnya. Begitu juga dengan perabot. Iklan - iklan perabot mula membanjiri peti surat, cermin depan kereta dan bakul motosikal. Sedikit - sebanyak akan memerangkap segelintir mangsa yang hanyut dengan dunia material. Ganti sofa, ganti meja makan dan kalau boleh semua mahu digantinya. Kedai - kedai hardware turut menjadi tumpuan. Tong - tong cat mula berpindah dari kedai ke rumah. Cat balik yang lama atau cat dengan warna yang baru. Maka berlari - larilah penggelek atau berus ke permukaan dinding untuk menghadirkan warna baru.

Buku - buku resepi yang kali terakhir dibuka setahun yang lepas, kembali dicari. Kuih - muih dan biskut yang menjadi santapan iringan utama bakal memenuhi kembali balang - balang yang terbiar sepi selama 12 bulan. Cuma yang mana menjadi pilihan utama masih lagi menjadi percaturan. Yang sedap, yang mudah, yang murah, yang ada kelainan dan yang paling penting, menjadi pujian tetamu. Kalau susah sangat, beli sahaja samada melalui tempahan atau yang sudah sedia ada. Cuma sediakan sahaja ongkos yang sudah tentu berbeza dengan buatan tangan sendiri.

Pendek kata pelbagai persiapan yang harus(?) dilakukan untuk menyambut Hari Raya tatkala bulan Ramadhan baru sahaja menunjukkan mukanya. Memang kita harus bergembira pada Hari Raya untuk meraikan kemenangan menempuhi bulan puasa. Namun harus diingat Hari Raya wujud kerana bulan Ramadhan bukan sebaliknya!!!

Apapun, Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Hari Raya Aidilfitri : Rondo Tarian Rimba Bahagian 1




Assalamualaikum.

Dua tiga hari lagi kita akan menyambut 1 Syawal. Bulan Ramadhan yang mulia akan berlalu (secara pantas).

Ibadah puasa yang menjadi tunjang bulan ini tidak lagi menjadi wajib ditunaikan selama sebulan. Kedai - kedai makan yang kebanyakannya tutup akan kembali menjadi sibuk dengan aktiviti pengisian perut dan usus. Siang hari kembali sedikit tercemar dengan pelepasan asap karbon monoksida dari batang -batang tembakau bersalut tar dan nikotin. Masjid dan surau kembali lengang. Ada yang kembali aktif dan sebaliknya.

Di Malaysia amnya Hari Raya Aidilfitri akan disambut secara berlebihan berbanding ibadah bulan Ramadhan itu sendiri. Belum lagi Ramadhan bermula, persiapan hari raya telah mula berlegar - legar di sesetengah orang kita. Ia umpama peperiksaan akedemik.Sudah membayangkan apa yang patut dilakukan untuk meraikan penghabisan peperiksaan. Sedangkan peperiksaan itu sendiri belum lagi dilalui apatah lagi keputusannya.

Baju-baju raya tradisional (baju Melayu, kurung, kebarung, kebaya) sudah mula ditempah. Sepasang dua tidak cukup? Penuhkanlah setiap ruang kosong almari pakaian yang ada. Maka gedung -gedung fabrik dan kedai jahit mula bertungkus - lumus mengira keuntungan yang bakal diperolehi tatkala orang lain berpenat lelah mengira berapa banyak duit yang telah menyusut daripada akaun bank. Itu belum lagi dengan baju raya bukan tradisional yang telah mula menggunung di pusat-pusat membeli belah. Bersedia untuk ditarah rata.

Macam dapat barang percuma!

Bagi yang tidak mempunyai kenderaan sendiri atau ada sebab - sebab tertentu, pengangkutan awam adalah pilihan utama untuk pulang ke kampung berhari raya. Seminggu dua sebelum Ramadhan lagi, tiket - tiket bas ekspres dari ibu kota ke utara, ke selatan dan ke Pantai Timur sudah mula dijual. Mulalah perantau -perantau melilau di sekitar kaunter menagih perjalanan ke kampung. Serentak dengan itu, entah dari mana datangnya, keluarlah ulat - ulat menawarkan harapan dan kepingan tiket untuk perjalanan yang tidak pasti. Maka dengan rasa gembiranya, tiket dan wang bertukar tangan. Wajah emak, abah dan keluarga mula terbayang - bayang. Seterusnya biarlah masa yang menentukannya.


bersambung...

Monday 7 September 2009

Scorpene: Kapal Selam Pertama Malaysia


Akhirnya tiba juga Scorpene, kapal selam pertama Malaysia di Pelabuhan Kelang pada 3 September 2009. KD Tunku Abdul Rahman tiba setelah berlepas daripada pelabuhan Toulon, Perancis pada 11 Julai.

Daripada kelas Perdana Menteri, KD Tunku Abdul Rahman adalah satu daripada 2 kapal selam yang dibeli daripada firma Perancis, DCNS dan Sepanyol, Navantia. Sebuah lagi kapal selam, KD Tun Razak dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Dengan harga kira-kira 3 bilion ringgit untuk keseluruhan pakej, sememangnya ini adalah aset termahal yang pernah berada dalam inventori Tentera Laut DiRaja Malaysia(TLDM) khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) umumnya. Sebelum ini pakej pembelian 18 pesawat Sukhoi-30 MKM dengan harga kira-kira 3.42 bilion ringgit menjadi kebanggaan negara.

Bakal menjadi aset pencegahan barisan hadapan, Scorpene akan berpengkalan di Sepanggar, Sabah. Pengkalan kapal selam di negeri bawah bayu ini, akan bertindak balas dengan sebarang kemungkinan yang berlaku di Kepulauan Spartly dan perbatasan laut dengan Indonesia. Kedua-dua kawasan ini mempunyai sejarah konflik yang tersendiri.

Secara taktikalnya, 2 buah kapal selam penyerang diesel elektrik memanglah tidak mampu menampung keperluan kawalan perairan sebuah negara maritim seperti Malaysia. Namun daripada segi psikologi, sebuah kapal selam sahaja sudah cukup menggerunkan musuh yang tidak memiliki kapal selam ataupun musuh yang masih bergantung harap pada kapal selam tinggalan perang dingin.

Selain itu,kemampuannya membawa anggota Pasukan Khas Laut(PASKAL) menyusup masuk ke mana-mana perairan melewati radar dan satelit yang memang menjadi kelebihan kapal selam, pasti menggerunkan musuh. Memang kelebihan taktikal yang besar.

Scorpene yang dibeli ini daripada sub-kelas Basic. Terdapat dua lagi sub-kelas iaitu Basic-AIP dan Compact.

Basic
Panjang 66.4 m
Berat semasa menyelam 1,700 t
Kelajuan semasa menyelam 20 kts
Kedalaman Penyelaman 300 m
Krew 30
Ketahanan Tanpa Isi Semula 50 hari

Scorpene dilengkapi dengan Blackshark, wire-guided torpedoes dan Exocet SM-39 sub-launched, misil anti-kapal.

Secara amnya, ia pembelian yang baik daripada segi teknikal,taktikal mahupun kewangan. Harganya memang berbilion-bilion. Namun kesannya daripada segi moral memang tinggi. TLDM semestinya lebih bersemangat dengan kehadiran ‘todak halimunan’ ini. Bagai melengkapkan persenjataan maritim negara. Bagi durjana mahupun petualang di luar sana pasti gentar setidak-tidaknya berfikir beratus-ratus kali sebelum mahu mencari persengkataan dengan Malaysia. HIDUP MALAYSIA!!!

Cadangan untuk memperkukuhkan pertahanan maritim Malaysia berdasarkan kapasiti kewangan dan strategi terkini:

2 buah lagi kapal selam penyerang- kawalan Semenanjung Malaysia
(sebolehnya berkuasa nukear)

2 buah kapal pemusnah (destroyer)- pertahanan permukaan dan pertahanan udara maritim.

Friday 7 August 2009

Therion: Suatu Permulaan


Assalamualaikum,

Aku mula mengenali band Therion sekitar 10 tahun yang lepas tatkala aku baru sahaja melepasi zaman persekolahan.

Seorang rakan baikku Herman telah meminjamkan sebuah kaset dengan cover luarnya ada figura haiwan berbadan manusia. Tertulis Therion dan Theli pada muka depannya.


Tuesday 4 August 2009

H1N1 : Simfoni Penyakit


Assalamualaikum,

Tengahari tadi adikku Adam telah ditahan wad Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Semuanya bermula begini...

29 Julai 2009

Abahku telah dimasukkan ke wad 5b hospital yang sama kerana demam denggi. Dua hari sebelumnya abah memang demam.
Petangnya Unit Kawalan Vektor datang membuat semburan di kawasan rumahku.

30 Julai 2009

Mak dan Adam mengadu demam-demam. Lantasku bawa mereka Klinik Kesihatan Kg Simee. Adam diambil darahnya kerana disyaki denggi.

31 Julai 2009

Adam buat pemeriksaan lagi di Klinik Kesihatan Kg Simee. Masih disyaki denggi tetapi tiada kepastian lagi berdasarkan kandungan darah.
Malamnya dalam pukul 11,mak minta membawanya ke hospital kerana demam teruk. Selepas pemeriksaan, mak disahkan demam biasa sahaja. Lega aku.

1 Ogos 2009

Pagi dalam pukul 6 pagi, aku mengambil adikku Anon dari Medan Gopeng. Utem terpaksa ditutup selama seminggu kerana H1N1.
Macam biasa Adam terpaksa diambil darahnya sekali lagi untuk pemeriksaan lanjut. Disyaki denggi lagi.

2 Ogos 2009

Malamnya aku sudah terasa seram sejuk

3 Ogos 2009

Pagi aku mula demam. Telan ubat sedikit. Terus pergi Klinik Kesihatan Kg Simee bersama Adam. Adam macam biasa terus ambil darah kerana demamnya tidak kebah- kebah.
Abah keluar dari wad tengharinya.

4 Ogos 2009

Demam yang tiada surutnya memaksa aku & Adam sekali lagi ke Klinik Kesihatan Kg Simee bersama Ida. Aku diberi MC 3 hari.
Adam lebih mengejutkan aku. Dia kene buat Xray peparu di hospital besar kerana disyaki berair.
Petang itu dia ditahan di wad 5b sebelum dipindahkan ke wad tingkat 8, wad untuk pesakit atau yang disyaki H1N1!!!
Adakah aku seterusnya?

Aku hanya mampu berdoa agar keluarga aku mampu keluar daripada kemelut musibah ini.
Mungkin ini ujian, pembalasan atau kifarah dari Tuhan.
Kami akan terus bertahan dan cuba menikmati hidup ini sebaik mungkin.
Insya-allah.