Pages

Thursday 17 September 2009

Hari Raya Aidilfitri : Rondo Tarian Rimba Bahagian II



sambungan....

Persediaan untuk rumah yang menjadi gelanggang pertemuan juga tidak dilupakan. Langsir yang dirasakan sudah lama bergantung di alang tingkap harus ditukar. Maka bermeter - meter tekstil dibeli dan dijahit. Bermacam - macam corak dan paten dipamerkan. Langsir lama yang masih elok tidak pula diketahui nasibnya. Begitu juga dengan perabot. Iklan - iklan perabot mula membanjiri peti surat, cermin depan kereta dan bakul motosikal. Sedikit - sebanyak akan memerangkap segelintir mangsa yang hanyut dengan dunia material. Ganti sofa, ganti meja makan dan kalau boleh semua mahu digantinya. Kedai - kedai hardware turut menjadi tumpuan. Tong - tong cat mula berpindah dari kedai ke rumah. Cat balik yang lama atau cat dengan warna yang baru. Maka berlari - larilah penggelek atau berus ke permukaan dinding untuk menghadirkan warna baru.

Buku - buku resepi yang kali terakhir dibuka setahun yang lepas, kembali dicari. Kuih - muih dan biskut yang menjadi santapan iringan utama bakal memenuhi kembali balang - balang yang terbiar sepi selama 12 bulan. Cuma yang mana menjadi pilihan utama masih lagi menjadi percaturan. Yang sedap, yang mudah, yang murah, yang ada kelainan dan yang paling penting, menjadi pujian tetamu. Kalau susah sangat, beli sahaja samada melalui tempahan atau yang sudah sedia ada. Cuma sediakan sahaja ongkos yang sudah tentu berbeza dengan buatan tangan sendiri.

Pendek kata pelbagai persiapan yang harus(?) dilakukan untuk menyambut Hari Raya tatkala bulan Ramadhan baru sahaja menunjukkan mukanya. Memang kita harus bergembira pada Hari Raya untuk meraikan kemenangan menempuhi bulan puasa. Namun harus diingat Hari Raya wujud kerana bulan Ramadhan bukan sebaliknya!!!

Apapun, Selamat Hari Raya Aidilfitri.

No comments:

Post a Comment