Pages

Wednesday 2 November 2016

Malaysia : TLDM Program Transformasi 15 To 5 (15-5)

TLDM telah merancang program transformasi armadanya 15 To 5 (15-5) dengan mengurangkan kelas kapal daripada 15 ke 5 sahaja. Program ini bertujuan memantap dan menguatkan armada di samping mengurangkan kos. Buat masa ini TLDM memiliki 15 kelas kapal daripada 7 negara berlainan iaitu Korea Selatan, Jerman, Peranchis, Italy, Sweden, United Kingdom dan tempatan.

15 To 5 
Lima kelas kapal yang bakal mengisi armada TLDM  adalah :

1) Kelas LCS (Littoral Combat Ship)
2) Kelas NGPV (New Generation Patrol Vessel)
3) Kelas LMS (Littoral Mission Ships)
4) Kelas MRSS (Multi-Role Support Ship)
5) Kelas kapal selam

Kapal latihan, KD Hang Tuah bakal menjadi kapal pertama ditamatkan perkhidmatan di bawah program ini. Kapal kelas Laksmana yang terdiri daripada KD Laksmana Hang Nadim, KD Laksamana Tun Abdul Jamil, KD Laksamana Muhammad Amin dan KD Laksamana Tan Pusmah akan menyusul selepas itu. Perlucutan perkhidmatan kelas Laksamana akan dibuat satu demi satu seiring dengan kemasukkan satu persatu kapal kelas LMS. Begitu dengan nasib kapal penyapu ranjau (mines counter-measure vessels) kelas Mahamiru. Giliran penamatan tauliah dibuat berdasarkan faktor jumlah hari berada di laut dan kos penyelengaraan sesebuah kapal.

KD Hang Tuah
Sebanyak 18 buah LMS akan menggantikan beberapa kelas kapal dalam TLDM. LMS ini bakal melaksanakan tugasan rondaan , kawalan sempadan dan seumpamanya. Oleh kerana memiliki bilangan kapal terbanyak, sudah pasti kos pembinaan, penyelenggaraan dan operasi LMS akan dipastikan terendah. Dikatakan harga siling setiap LMS ini ditetapkan pada RM 200 juta sahaja.

Terkini 01 November 2016, Malaysia sudah menandatangani perjanjian dengan China untuk pembinaan 4 buah LMS. 2 buah akan dibina di Malaysia dan 2 buah lagi akan disiapkan di China. Kapal pertama akan sedia untuk digunakan dalam tempoh 24 bulan. Korvet Type 056 milik People's Liberation Army Navy (PLAN) seperti memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki oleh TLDM dan boleh menjadi asas pembinaan LMS ini. Berharga sekitar 50 juta Dolar Amerika (kira-kira RM 200 juta), optimum beroperasi di kawasan 'green-water' (kawasan pesisir pantai) dan mampu menjalankan tugas terhad di kawasan laut terbuka serta berkebolehan menjalankan pelbagai misi. Made in China. Made By China.

Korvet Type 056 milik PLAN
Selain daripada kelas LMS, kelas MRSS turut menikmati kapal-kapal baru dengan penggantian sepenuhnya KD Sri Indera Sakti dan KD Mahawangsa. Kedua-dua kapal ini telah berusia melepasi 30 tahun dan menanggung bebanan kerja yang berlebihan. Siapa boleh lupa tragedi memalukan KD Sri Inderapura? Kapal terbesar dan terberat dalam inventori TLDM ini telah musnah terbakar pada tahun 2009 dan sehingga kini tiada pengganti. Dengar ada khabar positif dari negara jiran tentang MRSS ini. Kita nantikan kepastian khabar itu.

Selamat Tinggal KD Sri Inderapura
Tiga lagi kelas akan menerima tambahan daripada jenis kapal yang sedia ada. NGPV diramalkan menokok 12 buah kapal kelas Kedah yang dibina daripada cetakan biru MEKO 100 dengan ciri-ciri tambahan. Perancangan awal TLDM sekitar 1996 adalah untuk membina dan memiliki 27 buah kapal kelas Kedah. Angkara kelemahan pengurusan (kewangan dan kualiti) PSC-Naval Dockyard Sdn Bhd, hanya 6 buah kapal berjaya dibina dan kerajaan membatalkan terus program NGPV ini.

NGPV kelas Kedah - KD Perak
Projek terhangat masakini TLDM, LCS kini sedang dibina di limbungan Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), Lumut Perak. Sebagai kapal tempur permukaan tercanggih, TLDM merancang menambah 6 buah lagi LCS tidak termasuk 6 buah yang sedang dan akan dibina. LCS ini dibina berasaskan kapal korvet kelas Gowind.

Sebagai aset tempur bawah permukaan ternyata 2 buah Scorpene tidak mampu meliputi keluasan perairan negara yang luas. Oleh itu TLDM merancang menambah 2 buah lagi Scorpene. Mungkin antara kelas terakhir yang akan melengkapkan transformasi ini. Bukanlah rahsia kehadiran kapal selam mampu menggentarkan mana-mana armada laut walaupun dibarisi oleh kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier), kapal pemusnah (destroyer) mahupun kapal selam penyerang (attack submarine). Ibarat nila yang mampu merosakkan sebaldi susu.

KD Tunku Abdul Rahman
Tidak dapat dipastikan program 15 To 5 (15-5) ini akan melangkaui berapa Rancangan Malaysia sebelum terlaksana sepenuhnya. Kerangka masa ini banyak dipengaruhi oleh faktor kewangan kerajaan.  Kira-kira RM 30 bilion diperlukan untuk program transformasi ini lengkap sepenuhnya. 4 buah LMS yang bakal dbina akan menggunakan dana TLDM sendiri. Mugkin diambil daripada peruntukan dan simpanan sedia ada TLDM.

Faktor politik dalaman dan geopolitik rantauan turut memberi kesan kepada pelaksanaannnya. Tatkala ramai risau dengan kedudukan China di Laut China Selatan, Malaysia telah membeli kapal permukaan daripada negara tersebut untuk memenuhi aspirasi 15 To 5 (15-5) ini. Suatu langkah menyongsang berbanding negara ASEAN lain seperi Vietnam dan Filipina yang berkonfrontasi dengan kuasa besar Asia itu.  Apakah pembelian ini mampu meredakan tindakan provokatif China terhadap perairan negara seperti yang berlaku di Beting Patinggi Ali (South Luconia Shoals) dan Beting Serupai (James Shoals)? Diplomasi wang? Ufti?

Cuma perlu diingatkan jangan sampai" Menang sorak, kampung tergadai"

No comments:

Post a Comment