Pages

Friday 18 November 2011

Perak 2011 : Berkembangnya Layar Harapan

Kemenangan 2-1 Negeri Sembilan  ke atas Terengganu dalam aksi akhir Piala Malaysia menandakan berakhirnya musim bola sepak profesional Malaysia kali ini. Pasukan Perak pula telah menutup saingan dengan tumpas kepada musuh tradisi Selangor pada peringkat suku akhir.

FAM mungkin denda Perak
Persembahan dan keputusan baik kembali memeriahkan Stadium Perak

Bagi aku, pencapaian Perak musim ini memberikan sinar cahaya di hujung terowong (bukannya Terowong Menora) setelah melalui zaman tergelapnya musim lepas. Awal musim menyaksikan bagaimana skuad Seladang menunjukkan aksi garang dengan tidak tewas dalam 9 perlawanan pertama sebelum tumpas pada Sabah. Selepas itu prestasi Perak tidak menentu dengan menang,seri dan kalah silih berganti sehinggalah hujung saingan liga. Maka menghunilah Perak di tangga ke 6 liga dengan 10 kemenangan, 10 kali seri dan 6 kekalahan.

Pertarungan dalam Piala FA pula menyaksikan, skuad Kejor Yob Kejor tersungkur pada peringkat suku akhir kepada Terengganu dengan aggregat 4-5. Aksi Piala Malaysia nampak meyakinkan pada peringkat kumpulan walaupun tanpa kelibat beberapa pemain utama yang digantung beberapa perlawanan. Perak tidak mencatatkan sebarang kekalahan lantas memasuki suku akhir. Anti klimaks berlaku dalam pertempuran musuh tradisi Perak- Selangor tatkala pemain senior yang digantung kembali beraksi. Perak tunduk dengan aggregat 1-4.

Kemasukan pemain senior seperti Shahrul Nizam Mustafa, Khairi Zainuddin, Chan Wing Hong, Mohd Shafiq Jamal, Akmal Rizal Ahmad Rakhli serta Mohd Nasril Nourdin banyak membantu pasukan dalam mengharungi saingan musim ini. Pemain muda memerlukan tunjuk ajar orang lama untuk meningkatkan keyakinan mereka. Dapat dilihat beberapa orang pemain muda mula menyinar musim ini seperti Mohd Fazrul Hazli Kadri, Mohd Syazwan Roslan serta Wan Hossen Wan Abdul Ghani.

Dilema Perak berakhir
Three Musketeers

Tiga orang pemain pinjaman Piala Malaysia iaitu Mohd Failee Ghazli, Muhammad Rafiuddin Roddin serta Mohd Hafiszuan Salehuddin telah mempamerkan aksi cemerlang. Ketiga-tiga pemain ini telah diasah permainan serta skil mereka oleh Cikgu Jan dalam aksi Piala Malaysia setelah tidak berapa terbilang dengan skuad lama mereka. Mohd Failee Ghazli dan Muhammad Rafiuddin Roddin telah mengikat kontrak tetap untuk bersama Perak musim hadapan.

Penyokong Perak boleh mengharapkan sesuatu daripada skuad Seladang musim hadapan berdasarkan tunas-tunas kecemerlangan yang ditunjukan musim ini. Jangan dilupa bahawa pemain import kembali beraksi musim hadapan. Kehadiran mereka sentiasa dinanti untuk mewarnakan lagi kancah bolasepak negara walau apapun kesannya. Siapakah bakal memenuhi kuota pemain import Perak? Satu lagi untuk penyokong Yob. Perlukah slogan keramat Kejor Yob Kejor ditukar?

Angin monsun yang sebenar bertiup telah mengembangkan layar. Maka bergeraklah tongkang menuju ke destinasi kegemilangan. Perlahan tetapi pasti. Beberapa musim tongkang bergerak songsang kerana angin yang tiba berlawanan arah. Sampaikah tongkang ini? Sama-samalah kita nantikan ketibaanya di pelabuhan kejayaan.

No comments:

Post a Comment