Pages

Sunday 26 June 2011

TUDM Malaysia : AEW @ MRCA?

Baru - baru ini terbaca dalam sebuah berita online bahawa TUDM ingin memperoleh pesawat Airborne Early Warning and Control (AEW). Memang teruja juga mendengar perkhabaran ini. Maklumlah lama juga tidak mendengar pemerolehan baru oleh TUDM. Sebelum ini berkumandang juga rancangan untuk pemilikan Multi Role Combat Aircraft (MRCA) baru bagi menggantikan MiG 29 yang perlahan -lahan dilucutkan tauliah.
                                                        

Persoalannya, yang mana satukah yang menjadi keutamaan TUDM  buat masa ini? AEW atau MRCA? Atau kedua -duanya menjadi keutamaan?

 

MRCA

Mengikut inventori terkini, TUDM mempunyai 18 Su-30, 8 F/A-18D, 14 MiG -29,13 Hawk dan 18 F-5 Tiger sebagai pesawat pejuang (secara umum tanpa mengira peranannya). Daripada senarai ini, hanya Su-30, F/A-18D serta MiG-29 yang masih kompetitif untuk berkhidmat. F-5 Tiger tidak pula diketahui status operasinya manakala Hawk pula lebih layak dijadikan pesawat latihan berbanding pesawat pejuang.

Su-30MKM merupakan tulang belakang TUDM dalam menjaga kedaulatan Malaysia. Berperanan sebagai Multi Role Combat Aircraft, sememangnya Su-30 mampu memainkan pelbagai watak. Pejuang, air superiority, serangan udara ke darat serta pengintipan udara (air reconnaissance) adalah fungsi SU-30 yang membekalkan kegerunan kepada pihak musuh.

F/A-18D pula merupakan pelengkap fungsi Multi Role Combat Aircraft kerana mampu berfungsi secara berkesan tanpa mengira cuaca. Juga berkesan beroperasi pada waktu malam. MiG-29 lebih berperanan sebagai pejuang atau pemintas pesawat.

Berdasarkan senarai pesawat serta fungsi masing-masing, TUDM nampak memiliki keampuhan yang jitu daripada segi serangan udara dan darat. Cuma terdapat suatu masalah, KUANTITI!

40 pesawat pejuang dengan 14 daripadanya lebih menjurus kepada air superiority, ternyata bilangan ini tidak mencukupi untuk mempertahankan ruang udara Malaysia. Memeritkan lagi keadaan, semua pesawat ini berpengkalan di Semenanjung Malaysia sedangkan Sabah dan Sarawak dibiarkan terkontang-kanting ruang udaranya.

TUDM memerlukan minimum 5 skuadron MRCA yang beroperasi penuh. MRCA ini pula mesti terdiri daripada pesawat generasi keempat dan ke atas. Tiada gunanya memiliki 20 skuadron F-4 Phantom jika musuh menyerang menggunakan hanya 4-5 skuadron F-22 Raptor!!! Kalah terus jadi atom -atom yang bertebaran.

3 daripada skuadron MRCA ini dikekalkan di pengkalan biasa mereka iaitu di Gong Kedak, Butterworth dan Kuantan. 2 lagi skuadron perlu ditempatkan di Sabah dan Sarawak. Satu di Kuching atau Bintulu serta satu lagi di Kota Kinabalu atau Tawau.

Berdasarkan jumlah pesawat Su-30MKM, F/A-18/D dan MiG-29, TUDM sekadar mempunyai 2.2 skuadron (berasaskan 1 skuadron = 18 pesawat) iaitu tidak sampai separuh daripada cadangan. Ini bermakna TUDM memerlukan 3 skuadron lagi. Maka, apakah model pesawat yang harus mengisi keperluan ini tanpa mengira penggantian pesawat-pesawat sedia ada?

AEW

Sememangnya Malaysia tidak memiliki ataupun pernah memiliki pesawat AEW. Salah satu sebabnya adalah tiada keperluan (relevan untuk konteks sebelum tahun 2000). Kini pesawat AEW menjadi salah keperluan utama mana-mana tentera udara di dunia teruatamanya yang memiliki sejumlah pesawat pejuang generasi keempat ke atas.

Pesawat AEW menjadi pelengkap kepada kecanggihan teknologi dan kejuruteraan pesawat pejuang samada sistem navigasi, bahan binaan, kelajuan, kelincahan (agility), kebolehtahanan (reliability), sistem penderiaan (sensor) serta sistem senjata pesawat tempur tersebut. Ia boleh menambah jarak penderiaan dan memberikan  ketidakbolehkesanan (stealth) kepada pesawat pejuang.

Sistem AEW terkini mampu mengesan pesawat terbang sehingga 400km. Sebuah pesawat AEW yang terbang pada ketinggian 9100 meter mampu mencakupi kawasan seluas 312,000km persegi iaitu hampir menyamai keluasan kawasan darat Malaysia!

Kini pesawat AEW sudah menjadi keperluan yang TIADA dalam aset TUDM. Negara jiran 'terbaik', Singapura telah memiliki 4 buah Guflstream G550 dengan sistem Phalcon menggantikan 4 buah Northrop E-2C sebagai pesawat AEW. Thailand juga telah memiliki sebuah Saab 340 dengan sistem Erieye.

Seharusnya TUDM memiliki sekurang-kurangnya 4 buah pesawat AEW. 2 buah berpengkalan di Semenanjung dan 2 buah lagi di Sabah dan Sarawak. Semua pesawat ini mestilah terdiri daripada jenis model yang sama.

AEW @ MRCA ?

Mengambil kira pelbagai faktor, TUDM sememangnya memerlukan MRCA baru serta pesawat AEW.

Situasi yang agak panas di Laut China Selatan dengan isu Spartly sedikit sebanyak menggoncang keselamatan negara walaupun Malaysia tidak terbabit secara langsung dengan konflik terbabit. Pemantauan jarak jauh diperlukan sambil disokong sistem pertahanan dan serangan udara yang ampuh. ATM tidak boleh bergantung harap pada sistem pertahanan laut semata-mata.

Baru-baru ini Thailand telah menerima kelompok pertama MRCA Gripen C/D dari Sweden sebanyak 6 buah dengan dilengkapi sebuah Saab 340 Erieye AEW. Dijangka kelompok kedua Gripen C/D serta Saab Erieye  AEW dengan kuantiti yang sama akan siap sepenuhnya menjelang 2013. Sesuatu yang harus digusarkan oleh jeneral - jeneral TUDM.

Aset seperti MRCA dan pesawat AEW ini mampu menjadi insurans hayat kepada Malaysia. Lebih untuk mempertahankan diri berbanding menyerang. Mampu menggerunkan pihak musuh sehingga terpaksa berfikir berkali -kali sebelum berkonflik dengan Malaysia. Perlumbaan senjata bukan isu. Kedaulatan dan keselamatan adalah isu terbesar.

No comments:

Post a Comment