Sejujurnya dalam perkhidmatan angkatan tentera, menjadi sniper adalah pilihan utama aku. Diikuti dengan juruterbang jet pejuang ( fighter jet) dan komander kereta kebal utama (MBT).
Sebabnya mudah. Sembunyi dan bunuh. Jarak jauh. Sangat tepat. Sangat individu. Terasing. Tetapi sangat berguna. 'One shot,one kill' memang menjadi pegangan mana - mana sniper di dunia ini.
Sebenarnya sniper lebih banyak melakukan kerja penyamaran (camouflage), penyusupan (infiltration), pengintipan (reconnaissance) dan pemerhatian iaitu kira - kira 90% daripada tugasan mereka.
Namun tugas utama seorang sniper tetap bergantung kepada keupayaannya membidik peluru ke atas musuh setepat - tepatnya dan serahsia mungkin kedudukannya.
Aku banyak terpengaruh dengan filem Sniper lakonan Tom Berenger ketika pertama kali menontonnya kira - kira 9 tahun lalu. Juga terpengaruh dengan permainan video Conflict : Desert Storm, Conflict : Desert Storm II dan Conflict : Vietnam. Paling mengujakan ketika dapat memegang sendiri Barrett M82A2 kepunyaan sniper Rejimen Renjer DiRaja Malaysia (RRD) ketika Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan hari terbuka di Stadium Indera Mulia, Ipoh sekitar tahun 2005.
Memang mengagumkan tatkala dapat menyarap sambil mata memandang kejauhan dengan skop. Jari jemari pula bermain - main dengan picu yang sepatutnya melepaskan peluru .50 BMG (12.7X99mm NATO) apabila ditarik. Dalam masa kurang 2 saat, sasaran dalam jarak berkesan 1800 meter akan menjadi mangsa yang kebanyakannya bukan hidupan (kenderaan, radar, senjata berat). Terbaca juga aku bahawa jarak maksimumnya ialah 6800 meter.
Sebelum picu ditarik banyak lagi yang harus aku lakukan untuk menjadi sang halimunan maut. Pertama sudah tentulah perlu memasuki perkhidmatan tentera dahulu. Tidak tahulah aku wujud pusat latihan atau sekolah sniper sebaik yang dimiliki angkatan tentera. Mungkin ada sekolah sniper yang dikendalikan oleh bekas sniper yang kini menjadi pejuang, gerila mahupun pengganas.
Kedua keadaan fizikal yang sangat baik. Mata sangat penting. Masalahnya aku rabun jauh yang teruk. Terpaksa bergantung kanta sentuh untuk menikmati keindahan dunia ciptaan Tuhan. Mungkin boleh membuat pembedahan lasik untuk mengembalikan penglihatan semulajadi. Suatu pilihan.
Apapun sniper tetap menjadi pilihan utama pekerjaan impianku. Dengan ghillie suit membaluti tubuh sambil bersedia dengan M82A2 dalam posisi menyarap untuk mencari sasaran, inilah imej yang sentiasa membayangi fikiranku.
Banyak lagi akan kuulaskan tentang dunia sniper yang penuh kemahiran, kerahsiaan dan kepelbagaian dalam post - post yang akan datang. Mungkin dengan terperinci untuk menyelongkar sebenar - benarnya sniper daripada pelbagai sudut. Yang pasti SNIPER tidak bergantung kepada filem, permainan video mahupun blog untuk menjalankan misinya...
No comments:
Post a Comment