Dengan tersingkirnya skuad Perak dalam saingan ke suku akhir Piala Malaysia 2009, maka berakhirlah perjuangan pada musim ini. Namun itu bukan bermakna ia noktah terakhir.
Perlu juga dirungkai segala yang berlaku daripada abjad pertama lagi sebuah kisah suka duka. Juga dinilai kesan yang dibawa atau terbawa-bawa daripada musim-musim sebelumnya.
Musim ini dibuka dengan skuad Seladang masih terumbang-ambing angkara amukan masalah kewangan atau masalah urus tadbir? musim lepas. Ramai pemain senior seperti Ahmad Shahrul Azhar Ahmad Sofian, K. Nanthakumar,Sharul Nizam Mustapa, Khalid Jamlus dan beberapa orang lagi angkat kaki. Turut serta ialah jurulatih yang sangat bagus dan professional, Steve Darby.
Memburukkan lagi keadaan, pemain import juga tidak dibenarkan beraksi bagi musim 2009. Aku membantah sekeras-kerasnya larangan FAM ini yang seperti katak bawah tempurung. Khayal dalam dunianya sendiri.
Maka tinggallah skuad Piala Presiden dengan Razali Umar Kandasamy dan S. Subramaniam sebagai pemain senior terkontang- kanting cuba mengharungi musim 2009. Mereka disertai oleh jurulatih veteran, M. Karathu.
Penyokong-penyokong sememangnya tidak menaruh harapan yang tinggi musim ini. Cuma berharap tidak tersingkir ke Liga Perdana yang tidak disinggahi Perak semenjak liga professional diperkenalkan. Juga berharap sedikit keajaiban untuk memberikan ‘sesuatu’ dalam saingan musim ini.
Bersama-sama impian dan azam, maka skuad Skor Yob Skor(aku lebih suka Kejor Yob Kejor) mengharungi Liga Super 2009. 26 perlawanan sudah ditempuhi. Hasil 9 kemenangan,5 seri dan 12 kekalahan meletakkan skuad di tangga ke 10 daripada 14. Terselamatlah daripada penyingkiran.
Saingan dalam Piala FA pula mempamerkan aksi yang lebih meyakinkan. Setelah menang ke atas KM Naza pada pusingan kedua, Perak hanya tumpas pada Juara Liga Super dan musuh tradisi, Selangor pada suku akhir.
Format Piala Malaysia yang sentiasa berubah menjadikan Perak sebagai mangsa. Sebelum ini, 20 pasukan dibahagikan kepada 4 kumpulan dengan juara dan naib juara setiap kumpulan layak ke suku akhir. Musim ini pula, 20 pasukan dibahagikan kepada 5 kumpulan dengan juara setiap kumpulan layak ke suku akhir. Hanya 3 naib juara terbaik sahaja layak mengiringi juara kumpulan. Memang pelik format ini. Mungkin ingin ‘menjimatkan’ perlawanan.
Maka dengan bergantung kepada naib juara kumpulan lain, Perak terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada piala berprestij ini. Setelah puas berjuang dalam kumpulan sendiri, kedudukan kedua ternyata tidak mencukupi. Ratapan air mata darah pun tidak mencukupi untuk menangisi kekecewaan angkara format pertandingan yang dangkal berbanding prestasi pasukan sendiri.
Di sebalik mendung yang terus membayangi, terdapat sinar cahaya di hujung ufuk. Cahaya yang aku maksudkan ialah Razali Umar Kandasamy.
Penjaring terbanyak Piala Presiden 2007 dengan 33 gol, Razali telah membuktikan bahawa dia adalah penyerang terbaik negara buat masa kini. Ternyata ketenangan,ketangkasan dan kemahiran tinggi pemain banyak membantu Perak dengan ledakan gol yang banyak.
Pemergian Khalid Jamlus dan Carlos Caceres yang meninggalkan kekosongan di bahagian penyerang bagaikan rahmat buat pemain kelahiran Chemor ini. Pendedahan berterusan memberikan peluang pada Razali untuk menonjol. Sepatutnya dia telah dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Aku memang tidak faham dengan kaedah pemilihan skuad kebangsaan oleh FAM.
Diharapkan pihak pengurusan dapat mengekalkan Razali untuk skuad musim depan.Dengar cerita, dia cuba dipancing oleh beberapa pasukan yang terkenal. Salah satunya cukup sinonim dengan kaedah ‘kutip dan buang’.
Musim ini juga menyaksikan rekod kehadiran terendah di Stadium Perak semenjak beberapa belas tahun. Ketiadaan pemain import dan pemain senior terkenal serta prestasi tidak menentu skuad muda Perak menyumbang kepada kurangnya kutipan tiket. Ini seterusnya memberi kesan kepada kewangan persatuan.
Memang sedih jugalah tatkala melihat tempat duduk berbumbung yang dahulunya sentiasa penuh, kini makin berhabuk. Ombak atau ‘Mexican Wave’ yang dahulu selalu bergerak mengelilingi stadium, kini digantikan bayu-bayu lesu. Komen, makian, tempikan, keluhan dan pujian yang dahulu banyak kedengaran, kini bertukar kepada renungan panjang.
Perlu dingatkan bahawa penyokong adalah darah kepada mana-mana pasukan bolasepak. Darah inilah yang membawa oksigen (kewangan) ke otak (pengurusan). Darah inilah yang juga membawa oksigen ke anggota badan lain (pemain dan jurulatih). Anggota badan seterusnya melaksanakan arahan daripada otak. Tanpa darah, badan dan otak akan mati.
Cuma sekarang ini, otak cukup bercelaru. Terlalu banyak agenda yang tiada kaitan dengan bolasepak. Orang hendak mentadbir, dia hendak juga . Bila sudah dapat, beginilah jadinya. Itu hendak kejar ini hendak kejar. Kalau rasa tidak mampu daripada segi kewangan mahupun mental, silalah serahkan tampuk pentadbiran kepada yang sepatutnya.
Jangan judikan nasib pemain,pegawai dan penyokong semata-mata untuk memenuhi ketamakan kuasa peribadi mahupun pihak-pihak yang tiada kaitan dengan bolasepak Perak. Kurangkan politiking dan perbanyakan usaha membangunkan bolasepak negeri bertuah ini. Kalau tidak, nyah sahaja.
Daripada Seattle, USA kedengaran juga berita yang menarik. Ingat lagi Keita Mandjou? Dia mendapat anugerah ‘ Supporters Player of The Year 2009’ untuk Portland Timbers daripada United Soccer League(USL). Pemilihan ini dibuat sendiri oleh penyokong-penyokong berdasarkan prestasi dan impak Keita kepada pasukannya . Untuk pengetahuan, USL adalah liga bolasepak professional tingkat kedua di Amerika selepas Major League Soccer(MSL). Namun keduanya tiada hubung kait sama sekali kerana kedua-dua liga ini ditadbir oelh entiti yang berbeza. Terkini Keita menjadi salah satu daripada dua calon untuk anugerah ‘2009 United Soccer Legaue MPV’.
Tahniah buat Keita yang pernah menyarung jersi Perak daripada tahun 2004 hingga 2007. Pernah sekali menang ‘Golden Boot’ tahun 2006. Konsistensi dan ketajaman di depan pintu gol menjadi senjata utama penyerang berasal daripada Guinea ini. Teringat kembali pada suatu temuramah pemberita RTM dengan salah seorang pemain pertahanan senior Pulau Pinang. Pemain ini mengatakan bahawa Keita adalah pemain yang paling sukar dikawal dan paling sukar untuk merampas bola daripadanya.
Terbaru,jurulatih M.Karathu telah disingkirkan kerana gagal membawa Perak ke suku akhir Piala Malaysia. Rasanya Majlis PAFA perlulah melihat secara realiti dan hakiki pencapaian skuad Perak musim ini. Berbekalkan sumber kewangan terhad berserta ketiadaan ramai pemain senior musim lepas, persembahan daripada skuad muda tidaklah mengecewakan. Tidak tersingkir ke Liga Perdana sudah cukup baik. Janganlah terlalu bercita-cita tinggi dengan akal panjang sejengkal.
Rumusannya, masih ada ruang dan masa untuk skuad Perak. Apa yang perlu ialah komitmen semua pihak. Pemain, jurulatih,pegawai,persatuan,media dan semestinya penyokong perlu bekerjasama memajukan bolasepak Perak. Selesaikan masalah yang tertunda dan pandang ke hadapan demi sukan nombor satu dunia ini.
Harapan: - kepimpinan PAFA dan FAM dirombak keseluruhannya
- pemain import kembali beraksi dalam Liga Malaysia
- Stadium Perak kembali dipenuhi dengan warna kuning hitam putih
Jangkaan: -skuad Perak lebih mantap untuk musim depan (5 teratas dalam Liga Super)
-skuad Pahang kekal dalam Liga Super sekali lagi walaupun mengikut
kedudukan, terus tersingkir ke Liga Perdana (seperti musim 2008)
-Razali Umar Kandasamy lebih tajam dan lebih konsisten
No comments:
Post a Comment