Pages

Friday 22 February 2013

Malaysia : Sistem Pertahanan Udara - SAM

Starburst MANPADS
Sistem pertahanan udara adalah satu elemen penting dalam mana-mana angkatan bersenjata. Sistem ini boleh dioperasikan daripada mana-mana kawasan udara,laut mahupun darat. Tanpa sistem pertahanan udara yang berkesan, sesebuah negara terdedah kepada antara senjata yang paling merbahaya, paling tersembunyi ataupun paling laju.

Salah satu sistem pertahanan terbaik adalah misil permukaan ke udara (surface to air missile) atau SAM. Boleh dibahagikan kepada beberapa jenis berdasarkan jarak lingkungan (range), altitud, kebolehgerakan (mobility) serta penunjuk sasaran (guidance). Sistem ini telah menolak meriam anti pesawat (anti-aircraft gun) atau AA Gun menjadi sistem sampingan.

TDM sudah tentunya tidak terkecuali daripada memiliki ground base SAM. Antaranya ialah Starburst, Jernas Rapier, Fei Nu-6, Anza serta Igla yang dioperasikan daripada darat. Melihat bilangan model yang digunakan memanglah nampak bervariasi. Hakikatnya, semua model tersebut adalah jenis Very Short Range Air Defense (VSHORAD) dan Short Range Air Defense (SHORAD).

Jernas Rapier
Kecuali Jernas Rapier, yang lainnya adalah man-portable air-defense system (MANPADS) yang bersifat pertahanan setempat (point-defense). Semua SAM ini memberikan perlindungan udara beraltitud rendah daripada ancaman seperti helikopter dan pesawat bantuan udara dekat (close air support) seperti A-10 Thunderbolt dan MiG-27.

Ternyata inventori SAM sedia ada tidak menampung keperluan minimum pertahanan udara negara. Sudah tiba masanya ATM menerusi Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) melangkaui jarak jejari 10 kilometer dengan memiliki sistem Medium Range Air Defense (MRAD) mahupun High To Medium Air Defense (HIMAD).

Kecanggihan pesawat udara masa kini untuk melakukan pengeboman dari altitud melebihi 30,000 kaki dengan ketepatan dan kejituan tinggi mendedahkan nyawa serta aset negara pada pihak musuh. Situasi ini turut menjadikan pesawat tempur TUDM seperti Su-30MKM dan MiG-29 sebagai taruhan tunggal untuk membendung anasir tersebut tanpa ada perlindungan sokongan.

Antara calon-calon yang mungkin telah,sedang,akan atau boleh dipertimbangkan oleh GAPU untuk sistem pertahanan udara serta SAM jarak sederhana mahupun jauhnya ialah Buk, Aster 15, Aster 30, Pantsir S-1, KS-1, S-300, dan MIM-104 Patriot

S-300
Bagi platform laut pula, TLDM memiliki VLS Sea Wolf dan Albatros sebagai sistem pertahanan udara utamanya. Friget kelas Lekiu menggunakan VLS Sea Wolf manakala korvet kelas Laksamana mengoperasikan sistem Albatros dengan Aspide sebagai peluru berpandunya.

Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) yang terpisah oleh Laut China Selatan dengan jarak minimum 725 kilometer sememangnya memustahilkan pergerakan SAM GAPU secara sendiri merentasi dua daratan utama Malaysia ini (kecuali dibantu oleh unit-unit pengangkutan TLDM serta TUDM). Di sinilah angkatan laut boleh memberikan dimensi pertahanan udara yang berbeza dengan angkatan darat iatu kebolehjangkauan.

Jika dilengkapi dengan SAM jarak sederhana dan jauh, kapal-kapal TLDM boleh memberikan perlindungan udara secara menyeluruh pada bumi bertuah ini. Kawasan daratan serta maritim boleh dipertahankan daripada ancaman udara. Keluasan 2 kali ganda kawasan laut berbanding daratan, menjadikan tugasan TLDM lebih mencabar.

DCNS Gowind
Seperti biasa, kekurangan kapal serta sistem pertahanan udara berjarak dekat menjadi kekangan inventori untuk TLDM. Sistem VLS Sea Wolf dan Albatros walaupun utuh dalam kelas tersendiri, hanya mampu memberikan perlindungan udara yang terhad. SGPV Gowind yang bakal memasuki perkhidmatan laut dijangkakan akan menggunakan MDBA VL Mica dalam VLS Sylver A-35/A-43 yang dikategorikan berjarak dekat, sesuai dengan saiz vesel itu sendiri.

KD Pahang kelas Kedah
Sebagai tambahan, barisan OPV kelas Kedah sedia ada haruslah dilengkapi dengan SAM seperti RIM-116 RAM atau VL Mica mahupun Crotale EDIR. Inilah masanya Fitted For But Not With (FFBNW) diterjemahkan menjadi lebih bermakna iaitu Fitted For And With (FFAW),bukan sekadar gah pada konsep asal tanpa ada pelan yang pasti. Walaupun sekadar pertahanan kendiri, sistem yang dinyatakan setidak-tidaknya memberikan amaran pada musuh bahawa kapal ini bukan ratahan mudah. Berapa sangatlah kos pembelian SAM berbanding kos keseluruhan seunit OPV ini.

Apapun TLDM masih boleh mempertimbangkan pemilikan kapal pemusnah (destroyer). Destroyer mampu menampung MBDA Aster 30 dalam VLS Slyver A-50/A-70 bersama PAAMS. Saiz serta tonnage yang besar turut membolehkan pelbagai lagi pilihan SAM berjarak sederhana dan jauh seperti RIM-66, HQ-9 dan 9M317 dalam sistem yang tersendiri ditempatkan di atasnya. Sistem/SAM tersebut boleh membekalkan pertahanan udara luas (area-defense) disamping berkebolehan memusnahkan supersonic cruise missile anti kapal beraras rendah dan pesawat udara serta peluru berpandu berkelajuan tinggi

Pergolakan di perbatasan menjadikan pertahanan udara semakin kritikal. Penempatan sistem pertahanan udara di lokasi - lokasi panas seperti Kepulauan Spratly adalah perlu walaupun mungkin menggelegakkan lagi haba konflik. Tiada apa yang harus ditakuti Malaysia kerana kewujudan SAM ini adalah bersifat reaktif berbanding preemtif mahupun proaktif. Cuma kehadirannya di tempat - tempat strategik perlulah bersifat proaktif  sebelum sempat pihak durjana berfikir untuk menceroboh bumi tercinta ini. Bekalkan kegerunan pada musuh biar ia mengalir ke seluruh saraf dan salur darah sebelum diproses oleh minda dan sanubari mereka.
Pulau Layang-Layang
Selain itu, penaiktarafan dan pemilikan baru pelbagai jenis SAM meliputi bermacam-macam kriteria yang berbeza memberikan impak besar dalam pemodenan ATM. Satu tindak balas berantai akan mula berlaku pada elemen-elemen lain dalam pertahanan kebangsaan samada dari segi psikilogi, teknologi, taktikal dan strategi. Ini juga menjadikan Sistem Pertahanan Udara Nasional (SPUN) lebih bermakna daripada sekadar istilah.

No comments:

Post a Comment