Pages

Sunday 6 January 2013

Perak 2012 : Pelayaran Menempuh Gelombang

Liga Malaysia musim 2013 telah membuka tirainya dengan ATM menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah. Perlawanan-perlawanan Liga Super akan melakukan sepak mula pada 8 Januari. Namun aku merasakan belum terlambat lagi untuk memberi ulasan tentang pasukan kesayangan aku, Perak pada musim 2012.

Skuad Perak 2012
Liga Super
Kedudukan : 4/14  
Rekod Keseluruhan :     - Menang 13, Seri 3, Kalah 10, Jaring 40, Bolos 43, Mata 42
Rekod Tuan Rumah :     - Menang 8, Seri 1, Kalah 4, Jaring 21, Bolos 17, Mata 25
Rekod Tempat Lawan : - Menang 5, Seri 2, Kalah 6, Jaring 19, Bolos 26, Mata 17

Piala FA
Pusingan Kedua

Piala Malaysia - Kumpulan C
Kedudukan : 3/4
Rekod Keseluruhan :     - Menang 1, Seri 3, Kalah 2, Jaring 7, Bolos 9, Mata 6
Rekod Tuan Rumah :     - Menang 1, Seri 0, Kalah 2, Jaring 4, Bolos 6, Mata 3
Rekod Tempat Lawan : - Menang 0, Seri 3, Kalah 0, Jaring 3, Bolos 9, Mata 3

Untuk Liga Super, kedudukan Perak di belakang Selangor, Lions XII dan Kelantan (secara menaik) adalah suatu kemajuan berbanding tangga keenam bagi musim 2011. Jumlah jaringan juga berlaku peningkatan berbanding 31 gol musim sebelumnya. Cuma yang merisaukan ialah jumlah bolos yang melebihi jumlah jaringan.

Ini banyak disumbangkan ketika perlawanan menentang Kelantan di Kota Bharu di mana 6 kali bola melepasi garisan gol Perak tanpa sebiji bola pun menggegarkan jaring gawang pihak lawan. Kekalahan paling memalukan skuad Yob dalam tempoh ketamadunan ini. Sesuatu yang tidak mahu diingati sangat oleh penyokong - penyokong.

Kemenangan terbesar adalah ketika menguburkan terus Kuala Lumpur ke Liga Perdana 5-2. Selain daripada itu, tiada kemenangan melebihi 3 gol dicatatkan oleh Perak. Tiada seri tanpa jaringan juga adalah fakta menarik. Hanya 3 kemenangan skuad Seladang diperolehi tanpa dibolosi.

Bagi saingan Piala FA pula, Perak hanya mampu menikmati pusingan kedua sahaja sebelum dinyahkan oleh Terengganu. Sebelum itu ATM dicantas Perak di Ipoh. Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang Perak dalam kejohanan terbesar FAM ini.

Piala Teragung Bolasepak Malaysia
Prestasi Perak dalam Piala Malaysia tidak menggambarkan reputasi sebagai pasukan keempat terbaik Liga Super. Satu kemenangan pada perlawanan terakhir serta 2 kekalahan di laman sendiri membingungkan penyokong. Lebih membingungkan ialah Perak mampu pula seri dalam ketiga-tiga perlawanan di luar Ipoh. Untuk rekod skuad Yob hanya mampu menang menentang pasukan Liga Perdana, Sime Darby FC. 

Mungkinkah faktor 3 perlawanan pertama yang berlangsung hanya dalam tempoh 9 hari selepas hari raya pertama Aidilfitri selepas berehat panjang sedikit sebanyak menggangu momentum prestasi Liga Super? Adakah perlawanan keempat yang hanya berlangsung lebih sebulan selepas perlawanan ketiga turut menjadi dalang? Yang pasti Perak kempunan lagi Piala Malaysia sekali lagi.

Musim 2012 Perak membawa masuk beberapa pemain baru. Antaranya mengikat terus Muhammad Rafiuddin Roddin (Harimau Muda) dan Mohd Failee Mohamad Ghazali  (USM) bermain secara pinjaman untuk Piala Malaysia 2011. Turut mengisi senarai pemain ialah Muhammad Shahrom Abd Kalam (KL), Fahrul Razi Kamaruddin (KL) serta Mohd Badrul Azam Mohd Zamri (Felda United).

Pemain import kembali mencoretkan kanvas liga Malaysia 2012. Pencarian pemain luar yang berkualiti memanglah sesuatu yang sukar jika kurang ilmu penilaian, penilaian dibuat tergesa-gesa atau pada saat akhir serta kewangan yang terhad. Maka terjadilah adegan tangkap muat bagi memenuhi kuota yang diperuntukan oleh FAM. Ini semua bagi menyedapkan hati penyokong-penyokong kononnya pasukan sudah ada pemain import sambil berdoa pemain yang diambil menunjukan prestasi luar duga.

Michal Kubala pemain tengah dari Slovakia dan Lazar Popovic penggempur dari Serbia menjadi pilihan pengurusan dan jurulatih bagi membawa cabaran skuad Seladang musim 2012. Ternyata hanya Michal Kubala mampu bertahan sehingga hujung musim. Albert Bodjongo penyerang dari Cameroon menggantikan tempat Popovic pada sesi perpindahan pertengahan musim.

Prestasi pemain secara keseluruhan adalah kurang memuaskan. Hanya Kubala betul-betul menonjol secara individu. Pemain ini menjaringkan 14 gol termasuk 1 gol dalam Piala FA. Kepakaran dalam situasi bola mati menjadi tunjang kekuatan Kubala yang menjadi penjaring terbanyak Perak walaupun bermain di posisi tengah. Import Slovakia ini tiba-tiba menyepi prestasinya dalam pertempuran Piala Malaysia tanpa sebarang gol menjadi salah satu punca utama skuad Perak tersungkur dalam peringkat kumpulan lagi.

Kubala antara import yang menyerlah  dalam Liga Malaysia  2012
Persembahan Albert Bodjongo boleh dikategorikan sederhana. Penyerang ini meledakkan 9 gol secara keseluruhan. Agak cemerlang dalam liga biarpun masuk pada separuh kedua saingan. Sekali lagi, persembahannya merosot pada Piala Malaysia. Hanya mampu mencetak 2 gol pada perlawanan terakhir menentang Sime Darby FC sekaligus mengakhiri kempen Piala Malaysia Perak.
   
Seorang lagi penyerang import yang dibawa awal musim, ternyata perlaburan sia-sia. Lazar Popovic telah ditakdirkan untuk menjaringkan gol tunggalnya hanya pada perlawanan terakhir bersama skuad Seladang. 15 perlawanan sebelum itu, Popovic hanya mampu melihat rakan sepasukan lain menggegarkan jaring gol pihak lawan. Boleh dikatakan antara pemerolehan import terburuk Perak sepanjang masa.

Pemain tempatan agak menyepi sepanjang musim. Kapten, Shahrul Nizam gagal menjaringkan sebarang gol. Penjaring gol tempatan terbanyak disandang bekas pemain nasional, Akmal Rizal dengan hanya 5 gol. Failee yang terbilang dalam aksi Piala Malaysia 2011, tenggelam penampilannya dengan hanya 1 gol sebagai dicatatkannya. Barisan pertahanan dan gawang yang dibarisi muka-muka anak Malaysia beraksi kurang baik. Nasril Nourdin sangat tidak konsisten di gawang gol. Rekod keboloson dan perlawanan tanpa bolos menceritakan ada yang tidak kena.

Formasi 4-4-2 serta 4-5-1 menjadi kegemaran Norizan Bakar. Penyerang utama digalas Bodjongo/Popovic serta dibantu Akmal Rizal ataupun Failee. Barisan tengah pula ditunjangi Kubala sebagai playmaker dibantu Sharul Nizam yang bertindak sebagai defensive midfielder. Sayap kiri dan kanan menjadi medan buat Rafiuddin dan Nazri Kamal. Barisan belakang diisi K.Nanthakumar, Hisyamuddin, Khairi Zainuddin serta Syahrom Kalam. Nasril Nourdin seperti biasa di posisi terakhir.

Jurulatih buat musim kedua, Norizan Bakar sedikit sebanyak telah memberikan asas kukuh buat skuad Perak yang terumbang ambing pada musim 2009 dan 2010. Cuma masalah pertahanan yang terlalu longgar menjadi isu utama musim ini. Setelah Perak tumbang dengan jaringan yang memalukan 0-6 pada Kelantan, terus sahaja Cikgu Jan direhatkan.

Legenda Perak, Jang Jung diberikan peluang untuk membimbing pasukan mengharungi saingan Piala Malaysia. Ternyata warga Korea Selatan itu tidak mampu membawa apa-apa perubahan yang ekstrim dalam tempoh singkat pada Perak. Skuad Yob telah ditunjukkan pintu keluar pada peringkat kumpulan.

Ternyata pelayaran Perak dalam meniti kegemilangan masih bergelombang. Yang pasti berlaku peningkatan sedikit demi sedikit untuk mencapai tahap kestabilan yang pernah dikecapi ketika awal millenium 2000. Kemarau piala yang kian memanjang memerlukan usaha menyeluruh daripada semua pihak untuk mengakhirinya. Apapun aku tetap menyokong skuad Perak.

Fakta menarik 2012:

- Yob Muda memenangi Piala Presiden, Piala Belia dan Piala Emas Raja-Raja.
- Yob Muda juga naib juara Sukma.
- SMK Anderson Juara Kebangsaan Kejohanan 100Plus Super Cup Bawah 17
- Kika masih penaja kit

No comments:

Post a Comment