Kali ini aku akan mengulas tentang salah satu produk Bumiputera yang paling berjaya, Ramly Burger. Siapa yang tidak kenal burger buatan Ramly ini?
Boleh dikatakan hampir 100% gerai-gerai burger yang terdapat Malaysia menggunakan Ramly Burger sebagai daging burger mereka. Kalau tidak menggunakan jenama Ramly, rasanya perlu banyak belajar lagi tentang pemasaran. Jenama lain bukanlah tidak sedap atau bagus, cuma tidak SESEDAP Ramly Burger. Itu sahaja.
Berbanding burger restoran makanan segera, bagai langit dengan bumi bezanya. Daging Ramly Burger begitu berjus dan berlemak. Campuran sedikit sos cili dan mayonis bersatu dengan daging burger menghasilkan suatu hidangan yang sukar ditolak. Disalut pula dengan keikhlasan dan kesungguhan si pemasaknya, maka terciptalah suatu 'masterpiece'.
Burger segera pula terlalu 'plug and play'. Terlalu umum dan kurang seni percampurannya. Daging burgernya pula keras dan kurang penghayatan. Terlalu banyak wangnya di situ hingga menghilangkan keperibadian dan keluhuran.
Terus-terang aku katakan jika aku sudah kenyang sangat, Ramly Burger adalah satu-satunya makanan yang boleh lagi memenuhi ususku. Sedar-sedar sudah habis sebuku(seketul?) burger kutelan. Kesedapannya membuatkan otak masih mahu menerima makanan untuk perut.
Apapun Ramly Burger memang cukup sinonim dengan kelazatan dan keenakan. Berjaya menembusi pasaran segenap masyarakat negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik. Inilah 1Malaysia!
No comments:
Post a Comment