Pada hari raya kedua yang lalu, aku bersama - sama keluarga daripada Johor telah pergi ke Gunung Lang. Adalah kira-kira 17 orang.
Kebanyakan mereka memang tidak pernah ke sini. Hanya mendengar cerita tentang Gunung Lang daripada saudara mara yang pernah menjejakkan kaki ke sini.Memang teruja benar mereka.
Daripada jeti, terbentanglah tasik yang menghijau dengan dipagari bukit-bukit batu kapur. Memang menakjubkan keindahannya.
Kemudian menyusurilah kami merentasi tasik dengan bot menuju ke kawasan rekreasi. Tambang untuk orang dewasa RM 3, warga emas RM 2 dan kanak-kanak RM 1.50.
Terdapat 2 menara peninjau di kawasan sebelah sini. Satu berhampiran dengan tasik. Satu lagi terletak di bahagian dalam. Dari sini memang nampak secara keseluruhan kawasan Gunung Lang. Menarik juga untuk sesi fotografi.
Banyak terdapat rumah-rumah Melayu di sini. Namun semuanya kosong dan nampak terbiar. Dengarnya rumah-rumah ini untuk penginapan. Sebelum ini, aku pernah nampak anjing berkeliaran turun-naik rumah-rumah ini.
Ada juga kawasan burung unta, rumah burung (tiada burung pun) dan taman permainan kanak-kanak. Pondok-pondok rehat juga banyak di sini. Kalau hendak berkelah boleh juga.
Cuma kawasan di sebelah sini terasa begitu sunyi tanpa banyak aktiviti. Tandas pun tiada. Hanya pengunjung yang memeriahkannya.
Diharapkan pihak MBI dapat membuka gerai makanan di sebelah sini. Nampak juga kawasan ini nampak tidak begitu terurus terutama rumah-rumah penginapan. Menyakitkan mata di sebalik keindahan pepohon menghijau.
Secara keseluruhannya, Gunung Lang memang cantik. Tasik, bukit batu kapur dan pokok-pokok menjadi nadi utama. Cuma cara penjagaannya perlu menjadi perhatian MBI.Tidak banyak kawasan seperti ini Malaysia. Sepatutnya menjadi tarikan utama ke Ipoh.
No comments:
Post a Comment