Tanggal 12 Ogos lalu, bermulalah Electric Service Train (ETS) melalui Ipoh - Kuala Lumpur - Seremban. Aku pun baru sedar kewujudan perkhidmatan ini beberapa minggu kemudian. Itupun melalui laman web KTMB.
Sebagai orang Ipoh, sedikit sebanyak aku teruja juga. Ialah sebagai bandar ketiga terbesar di Malaysia, sistem pengangkutan awam di Ipoh agak mundur berbanding bandar besar lain. Kira ETS ini macam cahaya di hujung terowonglah.
Beberapa hari lepas, aku dan kawan telah melakukan singgahan di Stesen Keretapi Ipoh. Teringin sangat hendak melihat pembangunan di sini setelah landasan elektrik berkembar Ipoh - Kuala Lumpur siap dibina. Dan sudah tentunya ETS.
Hotel Majestic masih lagi wujud disebalik pembaharuan yang dilakukan di stesen ini. Masuk ke lobi, terdapat 2 kaunter tiket. Satu untuk tren Antara Bandar dan satu untuk ETS. Ramai juga orang di kawasan lobi walaupun waktu sudah melewati 11 malam.
Dari lobi, kami ke platform. Platform ini menganjur panjang dalam 100-150 meter (memang panjang). Adalah 5-6 orang sedang duduk di bangku. Kami ke platform no 2 untuk menikmati pemandangan di sini.
Kedengaran dari pembesar suara mengatakan tren dari Kuala Lumpur akan tiba di platform 1 sebentar lagi. Ketika itu ramai juga orang telah memasuki platform dari lobi. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi yang datang dari kejauhan. Makin lama makin kuat.
Akhirnya tren ETS yang dinanti tiba. Reka bentuknya lebih kurang macam tren komuter di Lembah Klang. Ramai juga penumpang di dalam gerabaknya. Mungkin trip terakhir dari Kuala Lumpur. Tren ETS ini kemudaian berpatah balik ke arah selatan. Mungkin ke depot di Falim sebelum menyambung tugasan esok paginya.
Platform semakin lengang. Cuma kelihatan beberapa pasangan di bangku yang tersorok sedikit daripada platform utama. Selain platform utama yang memanjang selari dengan bangunan utama, terdapat platform di kiri dan kanannya. Kedua-duanya agak gelap tanpa cahaya lampu. Terdapat bangku-bangku kayu di situ.
No comments:
Post a Comment