Pages

Thursday 17 July 2014

Malaysia : Kor Marin Diraja (Malaysia Royal Marine Corps)

Akhirnya Malaysia mengambil keputusan untuk menubuhkan Kor Marin Diraja (Malaysia Royal Marine Corps). Sudah lama idea tentera marin ini bermain-main di fikiran, di cakera keras komputer, di blog-blog mahupun dalam bentuk cetakan para pemikir ketenteraan. Sama ada mereka itu terdiri daripada panglima perang kerusi malas, jeneral 5 bintang, bekas anggota keselamatan ataupun penganalisis profesional.

Pendaratan anggota dengan AAV-7
Biarpun tiada perincian lagi diumumkan tentang tentera Marin ini, aku mengharapkan sesuatu yang kompak dan segar. Pentadbiran diletakkan di bawah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Jika United States Marine Corps (USMC) dijadikan sebagai model pembentukan pasukan, Marine Expeditionary Unit (MEU) boleh menjadi formasi utama.

Untuk permulaan, elemen tempur darat, elemen bantuan tempur dan elemen pemerintahan akan membentuk MEU. Elemen udara boleh diwujudkan kemudian atau ditiadakan terus jika kos menjadi kekangan utama. Sebenarnya elemen udara ini boleh menjadi elemen unik dalam MEU jika dibandingkan dengan unit-unit Marin negara serantau.

Sekurang-kurangnya 2 MEU perlu diwujudkan. 1 unit berpengkalan di Semenanjung Malaysia dan 1 lagi di Sabah dan Sarawak. Apabila minima 2 unit dibentuk, 1 MEU akan sentiasa bersedia untuk fasa operasi. Manakala 1 unit lagi akan menjalani fasa latihan/berehat. Setiap fasa akan berlarutan sehingga 3-6 bulan.

Pantai dan laut adalah persekitaran pendaratan utama Kor Marin. Antara kelengkapan yang wajib untuk Kor Marin ini adalah Assault Amphibious Vehicle (AAV) dan Amphibious Transport Dock/Landing Platform Dock (LPD). AAV seperti AAV-7 boleh dilancarkan daripada LPD seperti kelas Endurance atau Type 071 menggunakan well deck atau dok basah. Pelancaran ini boleh dilakukan ketika LPD berada jauh daripada pantai.

Type 071 LPD
Deftech AV8 yang dibina untuk Tentera Darat (TD) boleh memperluaskan peranannnya dalam Kor Marin ni. Kenderaan ini boleh berfungsi sebagai AAV mahupun Light Armour Vehicle (LAV) kerana AV8 mempunyai pelbagai variasi yang mampu memenuhi tugas sebagai pengangkut,penyerang ataupun peninjau. AV8 boleh dipertingkatkan sistem dorongan airnya bagi membolehkannya tiba di pantai dengan lebih pantas dalam keadaan laut tenang mahupun bergelora.

AV8

Selain itu, hovercraft dan/atau Landing Craft Utility (LCU) dijadikan aset asas pasukan ini. Kedua-dua unit ini mampu membawa sejumlah anggota dan kelengkapan daripada LPD ke pantai seperti Main Battle Tank (MBT), artileri dan Multiple Launch Rocket System (MLRS) yang tidak bersifat amfibia. Hovercraft seperti LCAC dilihat lebih berkesan kerana kemampuan pendaratan yang melangkaui bibir pantai berbanding LCU.

Challanger 2 keluar daripada LCU Mk10
Anggota-anggota Kor Marin harus diambil daripada mana-mana cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi wajib melalui pemilihan yang ketat dengan syarat-syarat tertentu. Boleh dikatakan kor ini berperanan seperti 10 Briged Para sebagai Pasukan Atur Cepat (PAC) dalam Tentera Darat (TD) namun dengan dokrin yang berbeza. 

Kor Marin Diraja ini haruslah mempunyai bajet tersendiri. Ini bermakna kerajaan harus memberi peruntukan khusus kepada pasukan ini. Kek bajet pertahanan negara wajib diperbesarkan. Tidak mengganggu dan menjejaskan perbelanjaan cabang-cabang pertahanan negara yang lain. Tiada istilah pembaziran dalam soal keselamatan dan kedaulatan. Penyelewengan, ketirisan, ketidaktelusan, ketidakcekapan dan pelbagai istilah buruk lain haruslah disingkirkan daripada sebarang perolehan pertahanan negara. Inilah barah yang menjadi modal kepada serangan kredibiliti pada ATM dan kerajaan.

Mungkin aku terlambat dalam artikel kali ini kerana hampir mencecah setahun setelah pengumuman dibuat. Apapun, Inilah Barisan Kita!

No comments:

Post a Comment