Pembelian MRCA baru Malaysia telah lama diperkatakan terutama semenjak isu MiG-29 dilucutkan tauliah perlahan-lahan. Sehingga kini hatta selepas PRU 13, tiada lagi kata putus dibuat oleh kerajaan tentang MRCA baru ini. Mungkin terlalu awal lagi tetapi bagi aku, kesemua MRCA yang bakal menggantikan MiG-29 wajib memasuki inventori selewat-lewatnya sebelum pertengahan tahun 2018.
Tempoh yang makin suntuk sebelum MiG-29 ditamatkan perkhidmatan sepenuhnya pada 2015, seharusnya menjadi pemangkin yang membawa kepada keputusan akhir. Di peringkat TUDM dan Kementerian Pertahanan mungkin telah menentukan calon terbaik menerusi proses pencalonan, penilaian dan pemilihan. Cuma di peringkat Kementerian Kewangan dan Pejabat Perdana Menteri mempunyai kriteria-kriteria bukan teknikal yang perlu dipertimbangkan. Ataupun keputusan akhir telah dimuktamadkan,cuma tinggal pengumuman rasmi sahaja yang belum dibuat?
Apapun sebelum ia dilakukan, mari lihat salah satu calon berat MRCA Malaysia, Dassault Rafale. Sebelum ini aku ada menjangkakan calon terbaik MRCA Malaysia. Secara peribadi, aku meletakkan Dassault Rafale pada ranking kedua. Mengapa? Jawapannya ada pada calon pesawat ranking pertama.
Rafale adalah pesawat buatan Dassault Aviation dari France (Perancis). Berbanding multirole, istilah omnirole telah digunakan untuk menggambarkan fungsi pesawat ini. Penguasaan udara (air supremacy), pengintipan (reconnaissance) dan serangan udara ke darat (air to ground attack) adalah peranan yang boleh dimainkan Rafale.
Setakat ini hanya Tentera Udara dan Tentera Laut Perancis yang memiliki Rafale. India yang dikatakan bersetuju membeli 126 buah Rafale telah menangguhkan proses pemilikannya seawal-awalnya hingga bajet tahun 2014 berikutan masalah kewangan. Apapun kebanyakan negara dunia ketiga yang sedang memilih MRCA, pasti menyenaraikan Rafale sebagai salah sebuah calon akhir. Mengapa?
Mungkin kuasa melobi yang kuat daripada kerajaan Perancis telah mempengaruhi sebarang keputusan pemilikan Rafele. Kerajaan Perancis sendiri adalah salah satu pemegang saham utama syarikat Thales Group dan Safran yang membuat 50% Rafale. Faktor geopolitik mungkin mengatasi faktor kewangan, teknikal dan taktikal ketenteraan. Atas kertas, ketiga-tiga faktor tersebut hampir seimbang antara calon-calon MRCA. Maka geopolitik menjadi pemutus (tie break).
Dassault Aviation,Snecma dan Thales sendiri mewujudkan satu laman khas untuk Rafale Malaysia dalam usaha memenangi bidaan tender MRCA baru Malaysia. Tagline berbunyi: Kini. Untuk Masa Hadapan. Selain Dassault Aviation sebagai kontraktor utama, Snecma adalah pembekal enjin M88 serta Thales pula sebagai penyedia utama sistem avionik,elektronik dan sensor bagi Rafale. Kesemuanya daripada Perancis.
Tidak dinafikan Rafale mempunyai kemampuan teknikal dan taktikal antara yang terbaik. Daripada segi penderiaan dan elektronik, Radar RBE2 AA yang menggunakan AESA (active electronically scanned array) diakui tercanggih dalam kelasnya. Mampu menjejak beberapa sasaran dalam atau luar lingkungan carian sambil terus mengesan sasaran lain. AESA juga membolehkan Rafale terbang pada altitud sangat rendah dengan menghasilkan peta 3 dimensi permukaan bawah yang belum dicartakan pada situasi buta. AESA adalah kelebihan terbesar buat Rafale.
Sama - samalah kita nantikan pengumuman rasmi perolehan MRCA baru Malaysia yang bakal menjadi perolehan terbesar TUDM dekad ini setelah kemasukan pesawat pengangkut taktikal Airbus A400M dan helikopter utiliti Eurocopter EC725 Cougar. Sementara menunggu detik itu, pelbagai teori.spekulasi dan khabar angin akan terus berkumandang. Majulah pertahanan untuk Malaysia!
***kemaskini 12/02/2015***
Mesir bersetuju untuk memiliki 24 buah Dassault Rafale dengan perjanjian kira-kira RM20 bilion merangkumi pelbagai pakej sampingan seperti friget FREMM dan sistem peluru berpandu pertahanan udara MBDA.
No comments:
Post a Comment