Bulan puasa sudah menjelma setelah setahun menyepi diri. Banyak juga perkara yang hanya muncul setelah Ramadhan tiba. Salah satunya ialah bazaar Ramadhan.
Bazaar Ramadhan Jalan TAR |
Sebulan sebelum Ramadhan, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mula membuka lesen berniaga bazaar Ramadhan. Maka berebut-rebutlah orang ramai untuk mendapatkan lesen ini terutama di beberapa tempat 'panas'. Selain daripada peniaga-peniaga yang biasa, turut muncul peniaga yang hanya berniaga pada bulan mulia ini. Ramai juga yang mencuba nasib untuk menjadi peniaga 'bidan terjun'.
Seminggu menjelang bermulanya Ramadhan, PBT telah mula memasang khemah-khemah di tapak bazaar Ramadhan. Salah satu petanda bulan mulia kian menghampiri. Ramai juga yang telah mencongak-congak laba yang bakal diperolehi. Maka ramai juga yang telah berkira-kira berapakah yang bakal 'dilaburkan' pada bazaar Ramadhan.
Akhirnya tiba jua Ramadhan yang dinanti-nantikan ramai dengan niat yang berbeza-beza. Menjelang 3 petang, para peniaga telah mula mempersiapkan diri dengan barangan dagangan masing-masing. Di Malaysia, juadah tidak boleh dijual sebelum pukul 3 petang.
Menjelang pukul 5 petang, bazaar-bazaar Ramadhan seluruh Semenanjung mula dipenuhi pengunjung-pengunjung yang berpuasa mahupun yang tidak. Jalan -jalan di sekitar tapak bazaar Ramadhan menjadi sesak dengan peningkatan jumlah kenderaan yang luar biasa berbanding hari biasa. Etika parkir yang buruk di samping terhadnya ruangan meletak kenderaan semakin menyesakkan suasana.
Kepadatan pengunjung di bazaar Ramadhan terutama di tempat-tempat hangat memang tinggi. Para pengunjung terpaksa berlaga bahu ataupun jalan mengiring untuk berjalan. Ruang antara pengunjung sangat tipis. Berlaku kesesakan lalulintas terutama di kawasan gerai yang tersohor. Ramai yang menunggu giliran untuk membeli juadah. 20 minit penantian adalah suatu keadaan biasa.
Bazaar Ramadhan merupakan suatu perniagaan konsep. Memang di luar bulan puasa terdapat pasar malam, pasar tani serta pelbagai lagi jenis pasar yang menjual makanan dan minuman seperti yang terdapat di bazaar Ramadhan. Cuma bazaar Ramadhan memfokuskan pada perniagaan juadah berbuka puasa. Boleh dikatakan 99 peratus peniagaan di sini berkisar tentang makanan dan minuman.
Kenaikan harga barangan mentah sedikit sebanyak memaksa peniaga menaikan harga jualan. Kalau hendak mengekalkan harga seperti sebelumnya memang boleh. Cuma ada yang harus dikorbankan. Saiz dan kuantiti menjadi pertaruhan demi memastikan harga tidak berubah. Banyak juga juadah yang menjadi mangsa dengan pelbagai taktik pengurangan.
Apapun, bazaar Ramadhan tetap menjadi tumpuan utama umat Islam membeli juadah berbuka puasa walaupun banyak juga restoran serta hotel yang menawarkan pakej bufet. Kepelbagaian yang tiada tandingan menjadikan bazaar Ramadhan unik. Kini menjadi ikon pelancongan bulan Ramadhan.
No comments:
Post a Comment