Pages

Friday, 4 March 2011

Perak 2011 : Bermula Suatu Kebangkitan?



Setelah melalui 2 musim yang penuh pancaroba dan ranjau berduri, skuad bolasepak Perak setakat ini telah menunjukkan tanda- tanda kebangkitan. Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) selaku pentadbir skuad Seladang telah membuat beberapa langkah pra- musim untuk memantapkan pasukan.

Bermula dengan penyingkiran Raja Azlan Shah sebagai ketua jurulatih yang kemudian digantikan dengan Norizan Bakar. Kemudian kemasukan semula beberapa pemain yang telah berhijrah ke pasukan lain sebelum ini seperti Shahrul Nizam Mustapha, Mohd Khairi Zainnudin, Mohd Nasril Nourdin serta Chan Wing Hong. Antara pemain baru yang menyertai skuad musim ini ialah Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Mohd Syafiq Jamal. K.Nanthakumar, Razali Umar Kandasamy serta beberapa lagi pemain musim lepas masih lagi dikekalkan. 


Liga Super Malaysia (MSL) 2011 bermula pada 29 Januari dengan Perak menentang Kuala Lumpur di tempat lawan. Ternyata keputusan seri 1-1 boleh dianggap memuaskan berdasarkan rombakan pra-musim yang agak besar melibatkan pengurusan, kejurulatihan dan pemain. Masih memerlukan masa untuk mendapatkan persefahaman antara satu sama lain. 

Stadium Perak menjadi boleh menjadi saksi penting kebangkitan skuad Kejor Yob Kejor (aku lebih suka slogan ini berbanding slogan baru) musim ini. Johor FC yang memang liat untuk ditumpaskan selama ini menjadi korban pertama. Tatkala perlawanan seperti hampir berkesudahan tanpa jaringan, Akmal Rizal memberikan gol 3 mata pada saat-saat akhir. Kemenangan pertama di gelanggang sendiri.

Berita kemenangan masa penghabisan ke atas skuad Lebah tersebar luas di kalangan penyokong -penyokong  Perak. Ini bagai menyuntik adrenalin ke lubuk sanubari kebanyakan mereka yang sebelum ini mengambil keputusan tunggu dan lihat tentang perkembangan pasukan. Memori kelabu tahun 2008 angkara sumbangleweng pihak pentadbiran baru PAFA masih terpalit di dasar hati mereka. Peristiwa "Black Tsunami" ini menyaksikan skuad Perak jatuh merudum selama 2 musim berturut-turut. Cuma bernasib baik tidak tersingkir ke Liga Premier. Fuhhh...

Tanggal 12 Febuari, skuad Rusa pula menjadi mangsa amukan Seladang dengan ribuan penyokong mula membanjiri Stadium Perak. Walaupun dibarisi beberapa pemain kebangsaan, Negeri Sembilan akhirnya terkulai layu. Jaring gawang mereka bergegar 2 kali sambil disambut sorak -sorai gembira daripada bangku penonton. Skuad Yob memenuhi permulaan harapan dan jangkaan penyokong yang amat dahagakan kejayaan. Semangat penyokong semakin memuncak.

Perlawanan seterusnya menentang Kedah di Stadium Darulaman tiga hari kemudian. Seri tanpa jaringan di tempat lawan seperti sudah cukup buat skuad Cikgu Jan. Ini memandangkan barisan skuad Kenari yang nampak lebih menggerunkan berbanding seteru-seteru yang lain. Cukup untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di gelangang lawan mahupun di tempat sendiri.

Kempen Piala FA dimulakan dengan pasukan Liga Premier, PDRM menanti kunjungan Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Seperti diduga, pasukan lawan mudah menjadi mangsa kudapan skuad Seladang. Penyerang sensasi, Razali Umar Kandasamy menjaringkan gol pertamanya musim ini dengan melengkapkan gol keempat pasukan untuk menang 4-1.

Momentum Liga Super terus menjadi apabila skuad Perak bertandang ke Kuantan. Skuad yang pernah digelar "Real Madrid Malaysia" ( maka Real Madrid adalah "Pahang Sepanyol" ?) rebah ke bumi angkara jaringan Shafiq Jamal dan Akmal Rizal. Kemenangan pertama di tempat lawan dalam saingan liga.

Perlawanan seterusnya adalah salah satu perlawanan tumpuan penyokong musim ini. Maka berduyun-duyunlah penyokong membanjiri Stadium Perak. Astro Arena 801 turut menyiarkan siaran langsung perlawanan ini. Harimau Muda terlebih dahulu memecah kebuntuan sebelum pakar sepakan bebas, Noorhazrul Mustapa menyamakan kedudukan pada minit ke 85. Satu mata yang berharga.

3 gol dalam masa sepuluh minit terakhir menghantar Sime Darby keluar daripada perebutan Piala FA musim ini. Jaringan Norhazrul Mustapa, Razali Umar Kandasamy serta Akmal Rizal sudah cukup buat mengembirakan penyokong yang hadir walaupun terpaksa bergelut pada hampir keseluruhan permainan. Perak melangkah ke pusingan seterusnya.

Walaupun perjalanan musim ini masih jauh, skuad Perak telah membuktikan mereka sudah bersedia untuk kembali mencabar semua kejuaraan. Cuma memerlukan sedikit masa lagi untuk mencapai keserasian unggul antara pengurusan, kejurulatihan, pemain serta penyokong. Berdasarkan rekod dan trend terkini, insya-Allah ia akan berlaku.

Apapun, KEJOR YOB KEJOR!

No comments:

Post a Comment