Pages

Thursday, 17 September 2009

Hari Raya Aidilfitri : Rondo Tarian Rimba Bahagian 1




Assalamualaikum.

Dua tiga hari lagi kita akan menyambut 1 Syawal. Bulan Ramadhan yang mulia akan berlalu (secara pantas).

Ibadah puasa yang menjadi tunjang bulan ini tidak lagi menjadi wajib ditunaikan selama sebulan. Kedai - kedai makan yang kebanyakannya tutup akan kembali menjadi sibuk dengan aktiviti pengisian perut dan usus. Siang hari kembali sedikit tercemar dengan pelepasan asap karbon monoksida dari batang -batang tembakau bersalut tar dan nikotin. Masjid dan surau kembali lengang. Ada yang kembali aktif dan sebaliknya.

Di Malaysia amnya Hari Raya Aidilfitri akan disambut secara berlebihan berbanding ibadah bulan Ramadhan itu sendiri. Belum lagi Ramadhan bermula, persiapan hari raya telah mula berlegar - legar di sesetengah orang kita. Ia umpama peperiksaan akedemik.Sudah membayangkan apa yang patut dilakukan untuk meraikan penghabisan peperiksaan. Sedangkan peperiksaan itu sendiri belum lagi dilalui apatah lagi keputusannya.

Baju-baju raya tradisional (baju Melayu, kurung, kebarung, kebaya) sudah mula ditempah. Sepasang dua tidak cukup? Penuhkanlah setiap ruang kosong almari pakaian yang ada. Maka gedung -gedung fabrik dan kedai jahit mula bertungkus - lumus mengira keuntungan yang bakal diperolehi tatkala orang lain berpenat lelah mengira berapa banyak duit yang telah menyusut daripada akaun bank. Itu belum lagi dengan baju raya bukan tradisional yang telah mula menggunung di pusat-pusat membeli belah. Bersedia untuk ditarah rata.

Macam dapat barang percuma!

Bagi yang tidak mempunyai kenderaan sendiri atau ada sebab - sebab tertentu, pengangkutan awam adalah pilihan utama untuk pulang ke kampung berhari raya. Seminggu dua sebelum Ramadhan lagi, tiket - tiket bas ekspres dari ibu kota ke utara, ke selatan dan ke Pantai Timur sudah mula dijual. Mulalah perantau -perantau melilau di sekitar kaunter menagih perjalanan ke kampung. Serentak dengan itu, entah dari mana datangnya, keluarlah ulat - ulat menawarkan harapan dan kepingan tiket untuk perjalanan yang tidak pasti. Maka dengan rasa gembiranya, tiket dan wang bertukar tangan. Wajah emak, abah dan keluarga mula terbayang - bayang. Seterusnya biarlah masa yang menentukannya.


bersambung...

No comments:

Post a Comment