Pages

Thursday 17 September 2009

Hari Raya Aidilfitri : Rondo Tarian Rimba Bahagian II



sambungan....

Persediaan untuk rumah yang menjadi gelanggang pertemuan juga tidak dilupakan. Langsir yang dirasakan sudah lama bergantung di alang tingkap harus ditukar. Maka bermeter - meter tekstil dibeli dan dijahit. Bermacam - macam corak dan paten dipamerkan. Langsir lama yang masih elok tidak pula diketahui nasibnya. Begitu juga dengan perabot. Iklan - iklan perabot mula membanjiri peti surat, cermin depan kereta dan bakul motosikal. Sedikit - sebanyak akan memerangkap segelintir mangsa yang hanyut dengan dunia material. Ganti sofa, ganti meja makan dan kalau boleh semua mahu digantinya. Kedai - kedai hardware turut menjadi tumpuan. Tong - tong cat mula berpindah dari kedai ke rumah. Cat balik yang lama atau cat dengan warna yang baru. Maka berlari - larilah penggelek atau berus ke permukaan dinding untuk menghadirkan warna baru.

Buku - buku resepi yang kali terakhir dibuka setahun yang lepas, kembali dicari. Kuih - muih dan biskut yang menjadi santapan iringan utama bakal memenuhi kembali balang - balang yang terbiar sepi selama 12 bulan. Cuma yang mana menjadi pilihan utama masih lagi menjadi percaturan. Yang sedap, yang mudah, yang murah, yang ada kelainan dan yang paling penting, menjadi pujian tetamu. Kalau susah sangat, beli sahaja samada melalui tempahan atau yang sudah sedia ada. Cuma sediakan sahaja ongkos yang sudah tentu berbeza dengan buatan tangan sendiri.

Pendek kata pelbagai persiapan yang harus(?) dilakukan untuk menyambut Hari Raya tatkala bulan Ramadhan baru sahaja menunjukkan mukanya. Memang kita harus bergembira pada Hari Raya untuk meraikan kemenangan menempuhi bulan puasa. Namun harus diingat Hari Raya wujud kerana bulan Ramadhan bukan sebaliknya!!!

Apapun, Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Hari Raya Aidilfitri : Rondo Tarian Rimba Bahagian 1




Assalamualaikum.

Dua tiga hari lagi kita akan menyambut 1 Syawal. Bulan Ramadhan yang mulia akan berlalu (secara pantas).

Ibadah puasa yang menjadi tunjang bulan ini tidak lagi menjadi wajib ditunaikan selama sebulan. Kedai - kedai makan yang kebanyakannya tutup akan kembali menjadi sibuk dengan aktiviti pengisian perut dan usus. Siang hari kembali sedikit tercemar dengan pelepasan asap karbon monoksida dari batang -batang tembakau bersalut tar dan nikotin. Masjid dan surau kembali lengang. Ada yang kembali aktif dan sebaliknya.

Di Malaysia amnya Hari Raya Aidilfitri akan disambut secara berlebihan berbanding ibadah bulan Ramadhan itu sendiri. Belum lagi Ramadhan bermula, persiapan hari raya telah mula berlegar - legar di sesetengah orang kita. Ia umpama peperiksaan akedemik.Sudah membayangkan apa yang patut dilakukan untuk meraikan penghabisan peperiksaan. Sedangkan peperiksaan itu sendiri belum lagi dilalui apatah lagi keputusannya.

Baju-baju raya tradisional (baju Melayu, kurung, kebarung, kebaya) sudah mula ditempah. Sepasang dua tidak cukup? Penuhkanlah setiap ruang kosong almari pakaian yang ada. Maka gedung -gedung fabrik dan kedai jahit mula bertungkus - lumus mengira keuntungan yang bakal diperolehi tatkala orang lain berpenat lelah mengira berapa banyak duit yang telah menyusut daripada akaun bank. Itu belum lagi dengan baju raya bukan tradisional yang telah mula menggunung di pusat-pusat membeli belah. Bersedia untuk ditarah rata.

Macam dapat barang percuma!

Bagi yang tidak mempunyai kenderaan sendiri atau ada sebab - sebab tertentu, pengangkutan awam adalah pilihan utama untuk pulang ke kampung berhari raya. Seminggu dua sebelum Ramadhan lagi, tiket - tiket bas ekspres dari ibu kota ke utara, ke selatan dan ke Pantai Timur sudah mula dijual. Mulalah perantau -perantau melilau di sekitar kaunter menagih perjalanan ke kampung. Serentak dengan itu, entah dari mana datangnya, keluarlah ulat - ulat menawarkan harapan dan kepingan tiket untuk perjalanan yang tidak pasti. Maka dengan rasa gembiranya, tiket dan wang bertukar tangan. Wajah emak, abah dan keluarga mula terbayang - bayang. Seterusnya biarlah masa yang menentukannya.


bersambung...

Monday 7 September 2009

Scorpene: Kapal Selam Pertama Malaysia


Akhirnya tiba juga Scorpene, kapal selam pertama Malaysia di Pelabuhan Kelang pada 3 September 2009. KD Tunku Abdul Rahman tiba setelah berlepas daripada pelabuhan Toulon, Perancis pada 11 Julai.

Daripada kelas Perdana Menteri, KD Tunku Abdul Rahman adalah satu daripada 2 kapal selam yang dibeli daripada firma Perancis, DCNS dan Sepanyol, Navantia. Sebuah lagi kapal selam, KD Tun Razak dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Dengan harga kira-kira 3 bilion ringgit untuk keseluruhan pakej, sememangnya ini adalah aset termahal yang pernah berada dalam inventori Tentera Laut DiRaja Malaysia(TLDM) khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) umumnya. Sebelum ini pakej pembelian 18 pesawat Sukhoi-30 MKM dengan harga kira-kira 3.42 bilion ringgit menjadi kebanggaan negara.

Bakal menjadi aset pencegahan barisan hadapan, Scorpene akan berpengkalan di Sepanggar, Sabah. Pengkalan kapal selam di negeri bawah bayu ini, akan bertindak balas dengan sebarang kemungkinan yang berlaku di Kepulauan Spartly dan perbatasan laut dengan Indonesia. Kedua-dua kawasan ini mempunyai sejarah konflik yang tersendiri.

Secara taktikalnya, 2 buah kapal selam penyerang diesel elektrik memanglah tidak mampu menampung keperluan kawalan perairan sebuah negara maritim seperti Malaysia. Namun daripada segi psikologi, sebuah kapal selam sahaja sudah cukup menggerunkan musuh yang tidak memiliki kapal selam ataupun musuh yang masih bergantung harap pada kapal selam tinggalan perang dingin.

Selain itu,kemampuannya membawa anggota Pasukan Khas Laut(PASKAL) menyusup masuk ke mana-mana perairan melewati radar dan satelit yang memang menjadi kelebihan kapal selam, pasti menggerunkan musuh. Memang kelebihan taktikal yang besar.

Scorpene yang dibeli ini daripada sub-kelas Basic. Terdapat dua lagi sub-kelas iaitu Basic-AIP dan Compact.

Basic
Panjang 66.4 m
Berat semasa menyelam 1,700 t
Kelajuan semasa menyelam 20 kts
Kedalaman Penyelaman 300 m
Krew 30
Ketahanan Tanpa Isi Semula 50 hari

Scorpene dilengkapi dengan Blackshark, wire-guided torpedoes dan Exocet SM-39 sub-launched, misil anti-kapal.

Secara amnya, ia pembelian yang baik daripada segi teknikal,taktikal mahupun kewangan. Harganya memang berbilion-bilion. Namun kesannya daripada segi moral memang tinggi. TLDM semestinya lebih bersemangat dengan kehadiran ‘todak halimunan’ ini. Bagai melengkapkan persenjataan maritim negara. Bagi durjana mahupun petualang di luar sana pasti gentar setidak-tidaknya berfikir beratus-ratus kali sebelum mahu mencari persengkataan dengan Malaysia. HIDUP MALAYSIA!!!

Cadangan untuk memperkukuhkan pertahanan maritim Malaysia berdasarkan kapasiti kewangan dan strategi terkini:

2 buah lagi kapal selam penyerang- kawalan Semenanjung Malaysia
(sebolehnya berkuasa nukear)

2 buah kapal pemusnah (destroyer)- pertahanan permukaan dan pertahanan udara maritim.